Friday, 25 March 2011

Yakjuj dan Makjuj Atau Gog dan Magog

Nama Yakjuj dan Makjuj disebut sebanyak dua kali di dalam al-Quran,
iaitu di dalam surah al-Kahfi ayat 94 dan surah al-Anbiya ayat 96. Di
dalam surah al-Kahfi diterangkan bahawa Yakjuj dan Makjuj adalah
orang-orang yang membuat kerosakan di muka bumi yang ditakuti oleh suatu
kaum yang tinggal di antara dua pergunungan sehingga ketika Zulkarnain
datang ke tempat itu, kaum tersebut memohon kepadanya agar dibuatkan
tembok penghalang daripada serangan mereka. Di dalam surah al-Anbiya,
disebutkan bahawa Yakjuj dan Makjuj itu akan segera turun dengan cepat
dari tempat yang tinggi ketika tembok penghalang mereka terbuka sebagai
tanda telah dekatnya kedatangan janji Allah s.w.t.

Al-Quran tidak menerangkan siapa sebenarnya Yakjuj dan Makjuj, daripada
bangsa dan keturunan mana mereka itu. Al-Quran hanya menjelaskan
sifat-sifat mereka, iaitu kaum pembuat kerosakan di bumi; kalau tembok
penghalang dibuka, mereka akan turun mengalir seperti mengalirnya air
bah, dan apabila tembok penghalang kukuh, mereka tidak masuk dan tidak
dapat membuat kerosakan. Oleh kerana itu timbullah beberapa tafsiran,
antara lain:

(1) Ahmad Mustafa al-Maragi dalam kitab tafsirnya menyatakan bahawa
Yakjuj adalah berbangsa Tartar, dan Makjuj adalah berbangsa Mongol.
Mereka berasal daripada satu bapa yang bernama Turk, tempat tinggal
mereka di bahagian utara Asia. Daerah mereka memanjang dari Tibet dan
China sampai ke Laut Baku Utara, di barat sampai Turkestan.

Dalam pelbagai zaman, bangsa-bangsa ini sering menyerang, membuat
kerosakan di muka bumi dan menghancurkan bangsa-bangsa lain. Di antara
mereka terdapat bangsa-bangsa yang kejam, turun dari bukit-bukit di Asia
Tengah dan pergi ke Eropah pada masa dahulu, seperti bangsa Semith,
Simeria, dan Hun. Mereka banyak menyerang negeri-negeri China dan Asia
Barat. Dengan munculnya Temujin yang dikenal dengan nama Genghis Khan
(di dalam bahasa Mongol bermaksud “Raja Alam”; 1167-1227), pada awal
abad ke-7 H / 12 M, berikutan tenteranya yang perkasa keluar jauh ke
Asia Tengah. Ia menundukkan China Utara kemudian pergi ke negeri-negeri
Islam, lalu menundukkan Sultan Qutbuddin bin Armilan, salah seorang raja
Seljuk yang menganut aliran Khawarij. Genghis Khan melakukan kekejaman
yang belum pernah berlaku sebelumnya di negeri tersebut.

(2) Musnad Imam Ahmad bin Hanbal (Imam Hanbali), seperti dikutip Ibnu
Kasir menyebutkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Nuh
memiliki tiga orang anak, iaitu Sam, nenek moyang orang Arab; Ham, nenek
moyang orang Sudan; dan Yafis, nenek moyang orang Turk.” Menurut
sebahagian ulama, Yakjuj dan Makjuj adalah keturunan Yafis, putera Nuh
ini. Demikian juga pendapat Nasafi, seorang ahli fekah, usul fekah dan
tafsir yang bermazhab Hanafi yang menyatakan bahawa Yakjuj berasal
daripada suku Turk, manakala Makjuj pula berasal daripada suku Jail
serta Dailam keturunan Yafis yang membuat kerosakan di muka bumi. Mereka
tidak mati dan masing-masing memiliki seribu keturunan yang
diperlengkapi dengan senjata.

(3) Hamka pula memberi tafsiran bahawa Yakjuj dan Makjuj adalah segala
gerakan yang telah dan akan merosakkan dunia ini. Oleh hal yang
demikian, baik diri, keluarga, mahupun negara serta bangsa wajib
mendirikan tirai besi sebagai benteng agar Yakjuj dan Makjuj tidak dapat
masuk. Mungkin Yakjuj dan Makjuj dapat ditafsirkan sebagai berfikiran
jahat, bermaksud buruk, dan ideologi yang menyesatkan yang dianuti
sebahagian manusia. Manusia yang menganutnya dengan kelicikan
kejahatannya boleh mempergunakan manusia sesamanya sebagai alat untuk
merosakkan bumi ini. Sebab itu, fikiran yang baik, cita-cita yang mulia,
dan ideologi yang sihat harus ditanam dengan teguh pada setiap diri,
keluarga, dan negara serta bangsa untuk membentengi Yakjuj dan Makjuj.
Yakjuj dan Makjuj laksana air, senantiasa mencari tempat untuk masuk
walaupun hanya sebesar lubang jarum.

Ya'juj dan Ma'juj atau Gog dan Magog dalam tradisi Ibrani (Yahudi)
adalah sebutan yang muncul dalam kitab suci umat Islam, al-Quran serta
kitab-kitab agama lain mengenai sekelompok manusia yang memiliki
kekuatan sebagai perosak dan penghancur kehidupan di muka bumi.Yakjuj dan Makjuj dalam tradisi keagamaan digambarkan dalam istilah yang tidak
jelas. Ada yang menyebutnya sebagai manusia, mahkluk berbentuk raksasa,
suatu bangsa atau negeri. Yakjuj dan Makjuj juga muncul dalam banyak
mitos dan cerita rakyat di banyak negara. Walau bagaimanapun, Ya'juj dan
Ma'juj seringkali disebut sebagai Gog dan Magog di Dunia Barat. Ketika
kemunculannya, mereka dikatakan akan menuju ke sebuah tasik di Palestin
dan akan minum air tasik itu hingga kering.

1· Memiliki zuriat yang ramai dan dikatakan tidak akan mati sehingga
melahirkan 1,000 zuriat.
2· Tiada siapa mampu menewaskan mereka dan hanya binasa dengan kekuasaan
Allah
3· Muncul selepas turunnya Nabi Isa AS dan dajal
Dalam sebuah hadis, Rasulullah menyatakan kebimbangannya apabila pada
zaman baginda, Yakjuj dan Makjuj dikatakan sudah berjaya menebuk benteng
Zulkarnain menjadi sebesar bulatan ibu jari dan jari telunjuk. Disebalik
pembinaan kota besar hasil kemajuan pembangunan dan kemodenan yang
melanda hampir seluruh pelosok dunia hari ini, masih ada kawasan rahsia
di muka bumi ini yang menyimpan ribuan makhluk misteri. Hingga kini,
penerokaan demi penerokaan di seluruh kawasan bumi masih belum menemui
wilayah asing itu sekali gus menyebabkan kewujudan makhluk terbabit
tidak akan dikenal pasti. Bagaimanapun, kemujudan makhluk itu adalah
sahih dan suatu hati nanti, mereka akan muncul juga di hadapan manusia.
Akan tetapi, ketika makhluk itu muncul, sudah terlambat untuk manusia
berbuat apa apa. Tiada lagi kajian mengenai sejarah kemujudan atau
penyelidikan sains dilakukan terhadap makhluk itu seperti penemuan
artifak atau spesis baru ketika ini kerana waktu munculnya makhluk
dikenali Yakjuj dan Makjuj itu, dunia sudah terlalu hampir dengan kiamat!
Sejak dikurung ribuan tahun lalu, kemujudan dan lokasi pusat tahanan
Yakjuj dan Makjuj masih menjadi misteri kepada manusia. Bagaimanapun,
kemujudan dua makhluk itu adalah pasti lantaran ia dinyatakan dalam
al-Quran serta tergolong dalam perkara ghaib yang wajib diimana manusia
menerusi tanda besar berlakunya kiamat. Ulama juga cenderung mengatakan
Yakjuj dan Makjuj berasal dan dikurung di benua Asia Tengah berdasarkan
tafsiran ayat ke 90 dari surah al-Khafi yang menyebutkan Zulkarnain
sampai ditempat terbit matahari iaitu timur dunia


Cerita mengenai sejarah Yakjuj dan Makjuj tertera dalam al-Quran
menerusi surah al-Kahfi, ayat ke 92 hingga 98 manakala kebangkitan
dinyatakan dalam surah an-Anbiyaa, ayat ke96 dan 97, katanya.
Allah berfirman menerusi ayat surah al-Kahfi itu:
Kemudian dia (Zulkarnain) menempuh suatu jalan (yang lain lagi). Hingga
apabila dia sampai antara dua gunung, dia mendapati di hadapan kedua dua
gunung itu suatu kaum yang hampir tidak mengerti pembicaraan.Mereka
berkata:Hai Zulkarnain, sesungguhnya Yakjuj dan Makjuj itu orang yang
membuat kerosakan di muka bumi, maka dapatkah kami memberikan sesuatu
pembayaran kepadamu, supaya kamu membuat dinding antara mereka?
Zulkarnain berkata: Apa yang dikuasakan Tuhanku kepadaku terhadapnya
adalah lebih baik, maka tolonglah aku dengan kekuatan (Manusia dan
peralatan), agar aku membuatkan dinding antara kamu dan mereka. Berilah
aku potongan potongan besi. Hingga apabila besi itu sudah sama rata
dengan kedua dua (puncak) gunung itu, berkatalah Zulkarnain: Tiuplah
(api itu). Hingga apabila besi itu sudah menjadi (merah seperti ) api,
dia pun berkata: Berilah aku tembaga (yang mendidih) akan aku tunangkan
ke atas besi panas itu. Maka mereka tidak dapat mendakinya dan mereka
tidak dapat melubanginya. Zulkarnain berkata: Ini (dinding) adalah
rahmat daripada Tuhanku, maka apabila sudah datang janji Tuhanku
(kiamat), Dia akan menjadikannya hancur luluh dan janji Tuhanku itu
adalah benar. Dalam ayat surah an-Anbiyaa pula Allah berfirman:
 Hingga apabila dibukakan (tembok) Yakjuj dan Makjuj; dan mereka turun
dengan cepat dari seluruh tempat yang tinggi. Dan sudah dekatlah
kedatangan janji yang benar (kiamat) maka tiba tiba terbelahlah mata
orang kafir.(Mereka berkata): Aduhai, celakalah kami, sesungguhnya kami
adalah dalam kelalaian mengenai ini, bahkan kami adalah orang yang zalim
Selain dua surah al-Quran itu, terdapat banyak hadis kuat yang
membicarakan mengenai Yakjuj dan Makjuj tetapi ada juga perbezaan
pendapat di kalangan ulama mengenai ciri ciri bangsa itu yang tidak
diterangkan nas.
Hadis riwayat Imam Ahmad pula menerangkan ciri fizikal Yakjuj dan
Makjuj yang antara lain bermuka bulat dan kulit kekuningan seperti wajah
kebanyakan penduduk Asia tengah. Pendapat lain menambah yang Yakjuj dan
Makjuj berkemungkinan berasal daripada bangsa Tartar dan Mongul manakala
lokasi tahanan mereka adalah kawasan pergunungan luas Caucasus. Beliau
berkata, kebanyakan ulama menyatakan yang bangsa itu terus wujud
sehingga kini tetapi dipisahkan daripada dunia manusia oleh Allah SWT
menerusi tembuk dibina Zulkarnain itu. Katanya, tugas bangsa itu setiap
hari sejak ribuan tahun lalu adalah mengorek tembok itu untuk tembus ke
dunia manusia tetapi Allah masih menghalang mereka dengan kembali
meneguhkan benteng berkenaan sehinggalah hampir hari kiamat. Allah akan
mengizinkan tembok itu runtuh dan Yakjuj dan Makjuj bebas ke dunia
manusia apabila hampirnya kiamat dan peristiwa itu menjadi satu daripada
10 tanda besar kiamat, katanya. Yakjuj dan Makjuj juga muncul selepas
kematian Dajal yang dibunuh Nabi Isa AS dan bangsa itu akan mendatangkan
kerosakan besar di muka bumi. Kekuatan mereka dikatakan luar biasa dan
terlalu hebat sehingga tiada siapa yang mampu menewaskan kumpulan itu.
Nabi Isa AS memerintahkan manusia yang masih beriman berlindung di
pergunungan bagi mengelak menjadi mangsa Yakjuj dan Makjuj, baginda
kemudian berdoa kepada Allah SWT dan Allah membinasakan mereka dengan
mengutuskan seekor burung besar untuk mengangkut dan membersihkan mayat
itu daripada bumi, katanya. Menyoroti dalil kewujudan Yakjuj dan
Makjuj, manusia seharusnya yakin mempertahankan akidah Islam dan tidak
bertangguh memohon keampunan dan keredaan Allah kerana mereka yang masih
lalai adalah golongan yang diterangkan dalam surah an-Anbiyaa di atas
seperti firmanNya: (Mereka berkata): Aduhai, celakalah kami,
sesungguhnya kami adalah dalam kelalaian mengenai ini, bahkan kami
adalah orang yang zalim

4 comments:

  1. lord of the rings tu,mcm cerita gog and magog 2,x,yg bngsa yahudi 2.naim kedah tluk byu,pgkalan bt2 lintang

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete