Friday, 25 March 2011

Pusat Tahanan Yakjuj dan Makjuj

Di sebalik pembinaan kota besar hasil kemajuan pembangunan dan kemodenan
yang melanda hampir seluruh pelusuk dunia hari ini, masih terdapat satu
kawasan rahsia di muka bumi ini yang menyimpan ribuan makhluk misteri.

Sehingga kini, penerokaan demi penerokaan di seluruh kawasan bumi masih
belum menemui wilayah asing itu sekali gus menyebabkan kewujudan makhluk
terbabit tidak akan dikenal pasti pengkaji atau manusia umumnya.

Bagaimanapun, kewujudan makhluk itu adalah sahih dan suatu hari nanti,
mereka akan muncul juga di hadapan manusia. Akan tetapi, ketika makhluk
itu muncul, sudah terlambat untuk manusia berbuat apa-apa lagi.

Tiada lagi kajian mengenai sejarah kewujudan atau penyelidikan sains
dilakukan terhadap makhluk itu seperti penemuan artifak atau spesies
baru ketika ini kerana sewaktu munculnya makhluk dikenali Yakjuj dan
Makjuj itu, dunia sudah terlalu hampir dengan kiamat!

Sejak dikurung ribuan tahun lalu, kewujudan dan lokasi ‘pusat tahanan’
Yakjuj dan Makjuj masih menjadi misteri kepada manusia.

Bagaimanapun, kewujudan dua makhluk itu adalah pasti lantaran ia
dinyatakan dalam al-Quran serta tergolong dalam perkara ghaib yang wajib
diimani manusia menerusi tanda besar berlakunya kiamat.

Pensyarah Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith, Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya (API-UM), Prof Madya Dr Fauzi Deraman, berkata Yakjuj
dan Makjuj bukanlah berupa haiwan atau spesies lain sebaliknya ia adalah
manusia yang berasal daripada keturunan Nabi Adam AS.

Katanya, mengikut hadis, bangsa Yakjuj dan Makjuj berasal daripada
keturunan anak lelaki Nabi Nuh AS iaitu Yafis yang berkembang melewati
masa sehinggalah Zulkarnain membina tembok bagi menghalang mereka keluar
dari lokasi mereka.

“Cerita mengenai sejarah Yakjuj dan Makjuj tertera dalam al-Quran
menerusi surah al-Kahfi, ayat ke-92 hingga 98 manakala kebangkitan
mereka dinyatakan dalam surah an-Anbiyaa’, ayat ke-96 dan 97,” katanya.

Allah berfirman menerusi ayat surah al-Kahfi itu: “Kemudian dia
(Zulkarnain) menempuh suatu jalan (yang lain lagi). Hingga apabila dia
sampai antara dua gunung, dia mendapati di hadapan kedua bukit itu suatu
kaum yang hampir tidak mengerti pembicaraan.

“Mereka berkata: ‘Hai Zulkarnain, sesungguhnya Yakjuj dan Makjuj itu
orang yang membuat kerosakan di muka bumi, maka dapatkah kami memberikan
sesuatu pembayaran kepadamu, supaya kamu membuat dinding antara mereka?’.

“Zulkarnain berkata: ‘Apa yang dikuasakan Tuhanku kepadaku terhadapnya
adalah lebih baik, maka tolonglah aku dengan kekuatan (manusia dan
peralatan), agar aku membuatkan dinding antara kamu dan mereka. Berilah
aku potongan-potongan besi’.

“Hingga apabila besi itu sudah sama rata dengan kedua-dua (puncak)
gunung itu, berkatalah Zulkarnain: ‘Tiuplah (api itu)’. Hingga apabila
besi itu sudah menjadi (merah seperti) api, dia pun berkata: ‘Berilah
aku tembaga (yang mendidih) agar aku tuangkan ke atas besi panas itu.

“Maka mereka tidak dapat mendakinya dan mereka tidak dapat melubanginya.
Zulkarnain berkata: ‘Ini (dinding) adalah rahmat daripada Tuhanku, maka
apabila sudah datang janji Tuhanku (kiamat), Dia akan menjadikannya
hancur luluh dan janji Tuhanku itu adalah benar’.”

Dalam ayat surah an-Anbiyaa’ pula, Allah berfirman: “Hingga apabila
dibukakan (tembok) Yakjuj dan Makjuj; dan mereka turun dengan cepat dari
seluruh tempat yang tinggi. Dan sudah dekatlah kedatangan janji yang
benar (kaimat) maka tiba-tiba terbelalaklah mata orang kafir. (Mereka
berkata): ‘Aduhai, celakalah kami, sesungguhnya kami adalah dalam
kelalaian mengenai ini, bahkan kami adalah orang yang zalim’.”

Dr Fauzi berkata, selain dua surah al-Quran itu, terdapat banyak hadis
kuat yang membicarakan mengenai Yakjuj dan Makjuj tetapi terdapat juga
perbezaan pendapat di kalangan ulama mengenai ciri-ciri bangsa itu yang
tidak diterangkan nas.

“Hadis riwayat Imam Ahmad pula menerangkan ciri fizikal Yakjuj dan
Makjuj yang antara lain bermuka bulat dan kulit kekuningan seperti wajah
kebanyakan penduduk Asia Tengah.

“Ulama juga cenderung mengatakan Yakjuj dan Makjuj berasal dan dikurung
di benua Asia Tengah berdasarkan tafsiran ayat ke-90 dari surah al-Khafi
yang menyebut Zulkarnain sampai ‘di tempat terbit matahari’ iaitu timur
dunia,” katanya.

Pendapat lain menambah yang Yakjuj dan Makjuj berkemungkinan berasal
daripada bangsa Tartar dan Mongul manakala lokasi tahanan mereka adalah
kawasan pergunungan luas Caucasus.

Beliau berkata, kebanyakan ulama menyatakan yang bangsa itu terus wujud
sehingga kini tetapi dipisahkan daripada dunia manusia oleh Allah SWT
menerusi tembok dibina Zulkarnain itu.

Katanya, tugas bangsa itu setiap hari sejak ribuan tahun lalu adalah
mengorek tembok itu untuk tembus ke dunia manusia tetapi Allah masih
menghalang mereka dengan kembali meneguhkan benteng berkenaan
sehinggalah hampirnya hari kiamat.

“Allah akan mengizinkan tembok itu runtuh dan Yakjuj dan Makjuj bebas ke
dunia manusia apabila hampirnya kiamat dan peristiwa itu menjadi satu
daripada 10 tanda besar kiamat,” katanya.

Yakjuj dan Makjuj juga muncul selepas kematian Dajal yang dibunuh Nabi
Isa AS dan bangsa itu akan mendatangkan kerosakan besar di muka bumi.
Kekuatan mereka dikatakan luar biasa dan terlalu hebat sehingga tiada
sesiapa yang mampu menewaskan kumpulan itu.

“Nabi Isa AS memerintahkan manusia yang masih beriman berlindung di
pergunungan bagi mengelak menjadi mangsa Yakjuj dan Makjuj; baginda
kemudian berdoa kepada Allah SWT dan Allah membinasakan mereka dengan
mengutuskan ulat yang menyerang belakang badan golongan itu sehingga mati.

“Selepas bangsa Yakjuj dan Makjuj mati serta menjadi busuk, Allah
mengutuskan seekor burung besar untuk mengangkut dan membersihkan mayat
itu dari bumi,” katanya.

Menyoroti dalil kewujudan Yakjuj dan Makjuj, manusia seharusnya yakin
mempertahankan akidah Islam dan tidak bertangguh memohon keampunan dan
keredaan Allah kerana mereka yang masih lalai adalah golongan yang
diterangkan dalam surah an-Anbiyaa’ di atas seperti firman-Nya: “(Mereka
berkata): ‘Aduhai, celakalah kami, sesungguhnya kami adalah dalam
kelalaian mengenai ini, bahkan kami adalah orang yang zalim’.”

3 comments:

  1. alhamdulila. .this is helping me widen my knowledge. .thankyou.

    ReplyDelete