Allah SWT telah memerintahkan seorang Malaikat berjumpa iblis
laknatullah supaya dia berjumpa dengan Rasulullah SAW untuk memberitahu
segala rahsianya, samada yang disukai mahupun yang dibencinya. Hikmatnya
ialah untuk meninggikan darjat nabi Muhammad SAW dan juga sebagai
peringatan dan perisai kepada umat manusia.
Maka Malaikat itu pun berjumpa iblis dan berkata, "Hai iblis! Bahawa
Allah Yang Maha Mulia dan Maha Besar menyuruh engkau menghadap ke hadrat
Rasullullah SAW. Hendaklah engkau buka segala rahsia engkau dan apa-apa
yang disoal oleh Rasulullah SAW hendaklah engkau jawab dengan
sebenar-benarnya. Jikalau engkau berdusta walau satu perkataan pun,
nescaya akan diputuskan segala suku-suku anggota badanmu, uratmu serta
disiksa dengan azab yang amat keras"
Demi mendengar sahaja kata malaikat yang dahsyat itu, iblis laknatullah
sangat ketakutan. Maka segeralah dia menghadap Rasulullah SAW dengan
menyamar sebagai seorang tua yang buta sebelah matanya dan berjanggut
putih 10 helai; panjangnya seperti ekor lembu. Iblis laknatullah pun
memberi salam, sehingga 3 kali tidak juga dijawab oleh Rasulullah SAW.
Maka iblis laknatullah berkata,"Ya Rasulullah! Mengapa dikau tidak
menjawab salam aku? Bukankah salam itu sangat mulia di sisi Allah?"
Maka jawab Nabi SAW dengah marah "Hai Aduwullah seteru Allah! Kepada aku
engkau menunjuk baikmu? Jangan engkau cuba hendak tipu aku sebagaimana
engkau tipu Adam nabi Allah sehingga keluar dari syurga, Habil mati
teraniaya dibunuh Qabil dengan sebab hasutan engkau, Ayub nabi Allah
engkau tipu dengan asap racun ketika dia sedang sujud sembahyang hingga
dia sengsara beberapa lama, kisah Daud nabi Allah dengan perempuan Urya,
Sulaiman nabi Allah meninggalkan kerajaannya kerana engkau menyamar
sebagai isterinya dan begitu juga beberapa Anbiya dan pendita yang telah
menanggung sengsara akibat hasutan engkau. Hai iblis laknatullah!
Sebenarnya salam itu sangat mulia di sisi Allah Azza Wajalla, cuma salam
engkau saja aku tidak hendak menjawabnya kerana diharamkan Allah. Maka
aku kenal baik-baik engkaulah iblis, raja segala iblis, syaitan dan jin
yang menyamar diri. Apa kehendak engkau datang berjumpa aku?"
Iblis laknatullah berkata: "Ya Nabi Allah! Janganlah dikau marah. Kerana
tuan adalah Khatamul Anbiya maka tuan dapat kenal akan aku. Kedatangan
aku adalah disuruh Allah untuk memberitahu segala tipu daya aku terhadap
umat tuan dari zaman Adam nabi Allah hingga akhir zaman. Ya Nabi Allah!
Setiap apa yang tuan tanya aku sedia menerangkan satu persatu dengan
sebenarnya, tiadalah aku berani sembunyikan." Maka iblis laknatullah pun
bersumpah menyebut nama Allah dan berkata "Ya Rasulullah! Sekiranya aku
berdusta barang sepatah pun nescaya hancur leburlah badan aku menjadi abu"
Apabila mendengar sumpah iblis laknatullah itu, Nabi SAW pun tersenyum
dan berkata dalam hatinya, inilah satu peluang aku untuk menyiasat
segala perbuatannya agar didengar oleh sekelian sahabat yang ada di
majlis ini dan menjadi perisai kepada sekelian umatku.
*Rasulullah SAW bertanya:* "Wahai iblis! Siapakah yang sebesar-besar
seteru engkau dan apakah pandanganmu terhadap aku ini?"
*Jawab iblis laknatullah:* "Ya Nabi Allah, dikaulah musuh aku yang
paling besar daripada segala seteru ku di muka bumi ini."
Maka Rasulullah SAW merenung wajah iblis laknatullah menyebabkan iblis
laknatullah menggeletar segenap tubuh badan serta anggotanya disebabkan
terlalu gerun akan kebesaran Baginda SAW.
*Jawab iblis laknatullah:* "Ya Nabi Allah, aku mampu menyamar sebagai
sesiapa juga termasuk haiwan bersekali dengan suara-suara yang tepat.
Aku ditegah Tuhan Azza Wajalla untuk menyamar sebagai dirimu kerana jika
aku melakukan yang demikian, nescaya terbakarlah aku menjadi abu. Aku
bersungguh-sungguh merentap iktikad anak Adam supaya mereka menjadi
kafir ialah kerana dikau bersungguh-sungguh menasihatkan mereka dengan
memberikan pedoman kepada seluruh manusia supaya berpegang teguh kepada
Islam. Begitulah juga kesungguhan aku menarik mereka kepada kafir,
murtad dan munafik. Aku tarik sekelian umat Islam supaya meninggalkan
jalan yang lurus dan beralih kepada jalan yang sesat. Aku berharap
mereka akan masuk ke neraka bersama-sama dengan ku serta kekal di
dalamnya buat selama-lamanya."
*Rasulullah SAW bertanya:* "Hai iblis! Bagaimanakah perbuatanmu kepada
makhluk Allah SWT?"
*Jawab iblis laknatullah:* "Ya Nabi Allah, aku goda perempuan-perempuan
supaya merenggangkan kedua pahanya kepada lelaki yang bukan suaminya dan
sesetengahnya hingga menghasilkan benih yang bersalah-salahan sifatnya.
Aku goda segala manusia supaya meninggalkan solat dan leka dengan
makan-minum dan berbuat kemungkaran. Sesetengahnya aku lalaikan dengan
harta-bendanya daripada emas, perak, rumah dan ladang dan hasilnya
dibelanjakan ke atas segala pekerjaan yang haram. Telah banyak kaum
lelaki dan perempuan terpesong imannya menerusi tentera jin, iblis dan
syaitan yang aku perintahkan supaya menarik mereka ke jalan kemungkaran.
Kalau terdapat sesuatu pesta yang melibatkan pergaulan bebas lelaki dan
perempuan, maka aku akan menggoda bersungguh-sungguh supaya mereka
kehilangan maruah, meminum arak dan mempengaruhi rakannya dengan cara
paksaan supaya meminum arak sehingga hilang akal dan hilang rasa malu
mereka. Lalu aku hulurkan tali percintaan yang asyik sehingga terbuka
beberapa pintu maksiat yang besar supaya mereka berhasad-dengki sehingga
melakukan perzinaan. Apabila lelaki dan perempuan berkasih-kasihan, maka
terpaksalah mereka mencari wang menerusi tipu daya serta mencuri.
Sekiranya mereka menyedari kesalahan masing-masing dan ingin bertaubat
atau beramal-ibadat, aku akan halang mereka sehingga mereka bertangguh
dan bertempoh dalam berbuat kebajikan. Aku juga akan menggoda dengan
lebih kuat supaya melazimkan maksiat dan menyukai isteri orang. Maka
telah ramai umat dikau telah aku sesatkan dengan jalan ini dengan
bantuan jin, syaitan dan iblis di mana aku menyuruh mereka menghasut
seluruh anggota manusia hingga ke dalam tubuh badannya. Apabila mereka
digoda pada hati, maka mereka akan sentiasa riak dan takabbur, ujub
serta melengah-lengahkan amalnya dan berlaku sombong. Apabila mereka
digoda pada lidah, maka sentiasalah mereka gemar berdusta, mencela dan
mengumpat satu sama lain. Demikianlah aku menghasut mereka semasa siang,
malam, pagi dan petang."
*Rasulullah SAW bertanya:* "Hai iblis! Mengapakah engkau suka
bersusah-payah dan berpenat-penatan untuk melakukan pekerjaan yang tidak
memberikan sebarang faedah kepada dirimu bahkan menambahkan lagi laknat
ke atas dirimu serta engkau akan ditimpakan sebesar-besar siksaan di
dalam neraka yang paling bawah sekali?"
*Rasulullah SAW bertanya:*" Hai laknatullah! Siapakah yang menghidupkan
engkau? Siapakah yang menjadikan engkau? Siapakah yang melanjutkan usia
engkau? Siapakah yang menerangkan mata engkau? Siapakah yang memberikan
pendengaran telinga engkau? Siapakah yang memberikan kekuatan kepada
anggota engkau?"
*Jawab iblis laknatullah:* "Adalah sekeliannya itu adalah anugerah
daripada Allah SWT yang Maha Besar. Tetapi hawa nafsu dan takabur serta
khianat telah menyebabkan aku melakukan sebesar-besar kejahatan. Tuan
juga sedia maklum bahawa aku pernah menjadi ketua segala malaikat
sehingga ribuan tahun dan bersujud kepada Allah SWT semenjak di dunia
ini lagi dan aku telah dinaikkan darjat menerusi satu langit ke satu
langit dengan aman. Aku pun mendiami tempat ku dengan beribadat
bersama-sama malaikat serta berkhidmat kepada Tuhan Azza Wajalla dalam
tempoh yang begitu lama. Tiba-tiba datang firman Allah SWT kepada ku
sekeliannya mengenai dijadikanNya seorang khalifah di dalam dunia ini.
Maka aku membantah kerana tidak suka berkhalifah. Lantas Tuhan Azza
Wajalla menjadikan seorang lelaki dan dititahkan aku dan sekelian
malaikat memberikan penghormatan kepada Adam kecuali aku seorang enggan
bersujud dan aku telah mengingkari hukumNya. Maka aku dimurkai Tuhan
Azza Wajalla serta dilaknatiNya aku sehingga hari Qiamat. Wajah ku yang
selama ini bercahaya dan cantik telah dihapuskan oleh wajah yang hodoh
dan keji. Aku sakit hati dan begitu berdendam kepada Adam. Kemudian Adam
diangkat oleh Tuhan Azza Wajalla menjadi raja di dalam syurga serta
dikurniakan seorang isteri untuk dijadikan permaisuri yang memerintah
segala bidadari. Sentiasalah mereka dalam kesukaan dan kesenangan.
Hasad-dengki ku menjadi-jadi kepada kedua mereka dan merancang untuk
mengkhianati mereka. Akhirnya aku telah menipu Siti Hawa supaya meminta
Adam memakan buah khuldi larangan Tuhan Azza Wajalla. Maka kerana
perempuan itulah, Adam termakan buah larangan berkenaan sehingga mereka
dihalau dari syurga dan diturunkan ke dunia secara terpisah kedua
suami-isteri beberapa lama sehinggalah dipertemukan kembali oleh Tuhan
Azza Wajalla dengan selamatnya sehingga mereka mendapat beberapa orang
anak lelaki dan perempuan. Kemudian kami hasut pula anak lelakinya yang
bernama Qabil supaya membunuh abangnya Habil sehingga mati. Itupun aku
masih tidak berpuas hati sehingga aku dapat melakukan pelbagai tipu-daya
ke atas sekelian anak-cucunya hinggalah ke Hari Qiamat. Tetapi dikau
telah menghalang pekerjaan ku dengan menarik mereka supaya memeluk
Islam. Ada pun sebelum dikau diputerakan ke dalam dunia ini, aku
bersama-sama bala tentera ku mampu naik ke langit dengan mudahnya
mencuri rahsia dan tulisan-tulisan yang menyuruh manusia berbuat ibadat
dan mendapat pahala serta syurga. Demikian juga bagi mereka yang
beribadat malam akan mendapat setinggi-tinggi pahala. Apabila aku turun
ke dunia, maka aku khabarkan kepada mereka itu dengan jalan yang sesat
melalui pelbagai tipu daya sehingga mereka berpegang kepada kitab-kitab
bidaah dan karut. Tetapi apabila dikau zahir ke alam dunia ini, maka aku
tidak dizinkan Allah SWT untuk naik ke langit dan aku tiadalah lagi
mendapat apa-apa rahsia umat mu. Ramai malaikat yang menjaga di pintu
tiap-tiap lapisan langit dan jika aku berdegil untuk naik ke langit,
nescaya malaikat akan melontar anak panah api yang bernyala-nyala. Telah
ramai bala tentera ku daripada golongan jin, iblis dan syaitan terkena
lontaran malaikat sehingga badan mereka terbakar menjadi abu. Aku dan
bala tentera ku amat susah hati dalam usaha menjalankan hasutan ditambah
pula dikau dapat menzahirkan mukjizat-mukjizat yang amat hebat di
hadapan sekelian raja-raja dan di khalayak ramai."
*Rasulullah SAW bertanya:* "Hai iblis! Apakah tipu helah terawal engkau
ke atas manusia?"
*Jawab iblis laknatullah:* "Pertama, aku palingkan iman mereka sehingga
terpesong iktikad mereka kepada kekafiran samada pada perkataan,
perbuatan, kelakuan dan hati mereka. Namun jika mereka gagal aku
pesongkan, aku akan berusaha menarik mereka kepada jalan yang
mengurangkan pahala supaya lama-kelamaan, mereka akan terjerumus juga
mengikut kemahuan ku"
*Rasulullah SAW bertanya:* "Hai iblis! Apabila umatku mendirikan solat,
bagaimanakah keadaan engkau?"
*Jawab iblis laknatullah:* "Itulah sebesar-besar kesusahan kepada ku.
Gementarlah seluruh badan ku dan lemahlah tulang sendi ku, maka pada
waktu itu, aku menyuruh puluhan syaitan iblis menggoda setiap orang yang
hendak bersolat menerusi anggotanya supaya malas bersolat dan hatinya
supaya was-was dalam solatnya serta terlupa bilangan rakaatnya. Mereka
juga akan bimbangkan pekerjaan dunia dan hatinya hendak cepat-cepat
menamatkan solatnya. Sesetengah iblis masuk ke dalam mata orang yang
hendak bersolat supaya ia tidak kusyuk dalam solatnya sehingga mereka
berpaling atau menjeling ke kanan dan kiri semasa solat. (Maka) tidaklah
tetap hatinya serta hilanglah kusyuknya. Sesetengah iblis memasuki
telinga orang yang bersolat supaya memasang telinga mendengar perbualan
orang, bunyi-bunyian dan sebagainya - yang sia-sia belaka. Sesetengah
iblis duduk pada belakangnya supaya orang yang bersolat itu tidak
berupaya lama-lama semasa bersujud atau bertahiyyat. Di dalam hatinya
sering bekehendakkan agar solatnya segera tamat dan ini tentunya akan
mengurangkan pahala solat. Jika sekelian iblis berkenaan gagal menggoda
seperti yang demikian, nescaya mereka akan aku hukum seberat-beratnya."
*Rasulullah SAW bertanya:* "Jika umatku membaca Al-Qur an kerana Allah
SWT, apakah yang engkau rasa?"
*Jawab iblis laknatullah:* "Jika mereka membaca Al-Qur an kerana Allah
SWT, maka terbakarlah tubuh ku serta putus-putus segala urat ku, maka
larilah aku dari mereka."
*Rasulullah SAW bertanya:* "Hai iblis! Jika umatku mengerjakan haji
kerana Allah SWT, apakah yang engkau rasa?"
*Jawab iblis laknatullah:* "Telah binasalah diri ku dan gugurlah tulang
ku kerana mereka telah menyempurnakan rukunnya."
*Rasulullah SAW bertanya:* "Hai iblis! Jika umatku berpuasa kerana Allah
SWT, apakah yang engkau rasa?"
*Jawab iblis laknatullah:* "Ya Nabi Allah, inilah suatu bencana yang
besar bahayanya terhadap ku kerana apabila masuk malam awal Ramadan,
maka memancarlah nur Arasy dan Kursiy serta segala malaikat menyambut
dengan gembiranya. Bagi orang-orang yang berpuasa mendapat sebesar-besar
anugerah Allah SWT yang Maha Pengampun segala dosa yang telah lalu serta
digantikan pula dengan pahala yang amat besar serta tiada ditulis segala
kesalahannya selama ia berpuasa. Tambahan pula yang menghancurkan hati
ku ialah segala isi langit, bulan dan bintang serta malaikat sehinggalah
burung-burung dan ikan-ikan laut dan air tawar juga tiap-tiap yang
bernyawa di atas muka bumi mendoakan siang dan malam memohon ampun bagi
orang-orang yang berpuasa. Satu lagi setinggi-tinggi kemuliaan orang
yang berpuasa ialah Tuhan menjadikan 1000 kemerdekaan dari azab neraka
pada setiap hari dalam Bulan Ramadan, segala pintu neraka ditutup,
segala pintu syurga dibuka, angin/bayu syirah yang amat lembut
berhembusan ke dalam syurga. Maka pada hari mulanya umat mu berpuasa,
datanglah segala bala tentera malaikat yang garang tanpa mengira
lawannya menangkap aku dengan perintah Tuhan serta ditangkapnya segala
bala tentera ku iaitu jin, syaitan dan ifrit serta dipasung kaki
tangannya dengan besi panas - dan dirantainya kami sekeliannya serta
dibenamkan ke dalam bumi yang amat dalam dan ditambah pula dengan
beberapa azab sengsara sehingga selesai ibadat puasa umat mu, baharulah
aku dilepaskan supaya aku tidak boleh mengganggu mereka. Dan umat mu
sendiri telah merasa kesenangan dalam menjalani ibadat puasa sebagaimana
mereka bekerja untuk bersahur di waktu tengah malam seorang diri
sekalipun tanpa sedikit perlu merasa takut seperti malam-malam yang lain"
*Rasulullah SAW bertanya:* "Hai iblis! Bagaimanakah halnya para
sahabatku kepada engkau?"
*Jawab iblis laknatullah:* "Ya Nabi Allah, Adalah sekelian para sahabat
mu adalah sebesar-besar seteru kepada ku, kerana tiada upaya aku melawan
mereka dan tidak ada satu pun tipudaya ku dapat memasuki mereka, kerana
dikau pernah berkata sekelian para Sahabatku adalah umpama bintang di
langit, jika kamu mengikuti mereka nescaya kamu akan mendapat petunjuk
Ya Nabi Allah, sekelian para sahabat mu sangat taat mengerjakan perintah
mu lagi setia serta bersungguh-sungguh menyiar dan menghebahkan syariat
mu kepada sekelian manusia menerusi Al-Qur an dan Al-Hadis. Ada pun
Sayyidina Abu Bakar As Siddiq bin Abi Qahafah itu semasa sebelum beliau
bersama mu pun, aku gagal menghampirinya apalagi sekarang beliau telah
mendampingi mu. Beliau amat kuat bersaksi di atas kebenaran dikau
sehingga beliau telah menjadi wazirul a zam dan dikau telah berkata
bahawa kiranya ditimbang kebajikan Abu Bakar dengan amal kebajikan
sekelian isi dunia ini, nescaya lebih beratlah kebajikan Abu Bakar.
Tambahan pula, beliau telah menjadi bapa mertua mu dengan mengahwinkan
puterinya Sayyidatina Aishah yang sangat hafiz hadis-hadis mu. Ada pun
sahabat mu, Sayyidina Umar Al-Khattab, aku tidak berani memandang
wajahnya kerana beliau sangat tegas dalam menjalankan hukum syariat mu.
Jika aku terpandang wajahnya, maka gementarlah segala tulang sendi ku
kerana tersangat takut kepadanya kerana imannya yang sangat kuat apalagi
dikau ba pernah bersabda, jikalaulah ada lagi nabi selepas aku, nescaya
Umar boleh menggantikannya kerana harapan besar dikau ke atasnya. Beliau
juga mampu membezakan iman dan kafir sehingga beliau mendapat gelaran
Umar Al-Faruk . Ada pun sahabat mu, Sayyidina Osman Al-Affan itu
lebih-lebih lagi tidak dapat aku hampiri kerana lidahnya sentiasa
bergerak membaca Al-Qur an, siang, malam, pagi dan petang. Dialah
penghulu segala orang yang sabar dan penghulu segala syuhada dan menjadi
menantu mu sebanyak 2 kali. Kerana ketaatannya, beliau dikunjungi oleh
para malaikat dengan penuh hormat kerana sangat malunya Malaikat kepada
beliau. Dikau telah berkata, Barang siapa menulis
BismillaahirRahmaanirRahiim pada kitab-kitab atau kertas-kertas dengan
dakwat merah, nescaya mendapat pahala baginya seperti pahala syahid
Sayyidina Osman. Ada pun sahabat mu, Sayyidina Ali bin Abi Talib, aku
sangat takut kepadanya kerana kehebatan kelakuannya serta kedahsyatan
melihat keperkasaannya di medan peperangan merempuh segala musuhnya.
Maka apabila iblis, syaitan dan jin memandang wajah Sayyidina Ali,
nescaya terbakar kedua biji mata mereka kerana beliau sangat kuat
mengerjakan perintah Tuhan serta beliau adalah julung-julungnya
kanak-kanak yang memeluk Islam serta enggan menundukkan kepala kepada
sebarang berhala, sebab itulah beliau digelar Ali KarimahullahuWajhah
dan Harimau Allah . Dikau pernah bersabda, akulah negeri segala ilmu dan
Ali adalah pintunya . Tambahan pula, beliau telah menjadi menantu dikau,
maka terlebihlah ngeri aku kepadanya."
*Rasulullah SAW bertanya:* "Bagaimanakah tipudaya engkau terhadap umatku?"
*Jawab iblis laknatullah:* "Adalah umat mu ada tiga golongan (1) Seperti
air hujan turun dari langit yang menghidupkan segala tumbuhan lagi
banyak manfaatnya dan pertolongan kepada lainnya iaitu guru-guru yang
memberi nasihat kepada manusia supaya mengerjakan perintah Allah SWT dan
menjauhi segala tegahanNya dan kata (malaikat) Jibril, Adapun ulama itu
pelita dunia dan pelita akhirat (2) Umat mu itu seperti tanah iaitu
orang (yang) sabar, bersyukur dan redha akan kurnia Tuhan kepadanya
serta beramal soleh dan bertawakkal kepada Allah SWT dan banyak berbuat
kebajikan, dan (3) Umat mu itu keadannya seperti Fir aun yang terlampau
tamak dengan harta dunia (dan) dihilangkan amal (perbuatan) akhirat.
Maka (dengan) sukacitalah aku kepada mereka (umat ke 3) lalu aku masuk
ke dalam tubuh mereka, aku putarkan hati mereka menuju ke lautan
derhaka. Apabila telah kekal atas jalan kejahatan, aku tarik ke mana
(sahaja) sesuka hati ku, jadi sentiasalah mereka bimbangkan dunia dan
tidak suka menuntut ilmu, dijadikan dirinya tiada kelapangan untuk
beramal, tidak mengeluarkan zakat hartanya dan sesetengah (golongan)
yang miskin (yang) hendak beribadat, aku goda mereka (supaya) meminta
kekayaan terlebih dahulu, maka apabila disampaikan Tuhan akan hajatnya
untuk mendapatkan kesenangan, maka (aku) lupakan mereka dari beramal,
tidak mahu mengeluarkan zakat harta mereka ibarat Qarun dengan
mahligainya dan diri mereka serta harta benda mereka habis terbenam ke
dalam bumi kerana mereka tidak mahu membelanjakan (harta mereka) pada
jalan-jalan kebajikan dan jika terkena kesakitan, mereka tidak sabar,
mereka sentiasa bimbangkan harta mereka dan sesetengah dari mereka yang
kaya asyik dengan perebutan dunia, bercakap besar kepada sesama Islam
dan benci dan menghina golongan miskin. Mereka gemar mengeluarkan harta
mereka kepada jalan-jalan maksiat dan menaburkan harta mereka kepada
perempuan-perempuan jahat dan tempat-tempat judi dan (majlis) tarian."
*Rasulullah SAW bertanya:* "Siapa pula yang sama (tarafnya) seperti engkau?"
*Jawab iblis laknatullah:* "Orang-orang yang meringankan syariat mu dan
membenci orang-orang yang mempelajari Islam."
*Rasulullah SAW bertanya:* "Siapakah pula yang memberikan cahaya pada
muka engkau?"
*Jawab iblis laknatullah:* "Orang-orang yang berdosa dan bersumpah
bohong dan (menjadi) saksi pembohong serta memungkiri janji."
*Rasulullah SAW bertanya:* "Apa pula rahsia engkau terhadap umatku?"
*Jawab iblis laknatullah:* "Jika seorang muslim ingin membuang air besar
(ke tandas), jika tidak membaca doa kepada Allah SWT untuk mohon
perlindungan daripada syaitan, nescaya aku lumurkan najis itu ke
tubuhnya tanpa disedari."
(Inilah doanya sebelum sampai ke tandas - Bismillahi AllaHomma Innii a
uu dzubikaminal khubusi wal khobaa is jika masuk ke tandas, dahulukanlah
kaki kiri dan jika keluar dari tandas dahulukan pula kaki kanan dan
apabila jauh empat-lima langkah daripada tandas, dibaca di dalam hati
GhufraanakalhamdulillaaHilladzii azHaba annil azaa wa aafinii dan
apabila selesai bersuci dibacakan doa AllaaHumma ToHHir Qalbii
minnifaaqi wahaSSin farjii minal fawaa hi shi) Maka jika dibacakan
doa-doa tersebut, larilah aku daripadanya
*Rasulullah SAW bertanya:* "Hai iblis! Jika umatku berjimak dengan
isterinya, bagaimanakah keadaan engkau?"
*Jawab iblis laknatullah:* "Jika seseorang hendak berjimak dengan
isterinya, (dan) jika dia membaca : A uu
dzubillaaHiminassyaitaanirrajiim, AllaHumma jannibnaa minassyaitaani
wajannibissyaitaan maa razaqtanaa maka larilah aku daripadanya. Maka
jika dia tidak membacakan doa tersebut, (maka) akulah yang terlebih
dahulu berjimak dengan isterinya dan jika menjadi anak (hasil
pergaulannya), maka anak itu menggemari pekerjaan maksiat serta malas
berbuat (baik) atas jalan kebajikan dengan sebab kelalaian ibubapanya.
Demikian juga jika mereka makan atau minum dengan tidak membaca
BismillaahirRahmaaniRahiim maka, akulah yang terlebih dahulu makan dan
minum sebelum mereka, maka walaupun mereka makan, tetapi mereka tidak
kenyang."
*Rasulullah SAW bertanya:* "Dengan jalan manakah yang dapat menolak
tipudayamu?"
*Jawab iblis laknatullah:* "Jika seseorang berbuat dosa, maka ia segera
sedar dan bertaubat kepada Allah SWT dan menangis serta menyesal di atas
perbuatannya serta apabila dia marah, dengan segera dia berwudhuk,
nescaya padamlah kemarahannya. Barangsiapa yang membaca doa ini setiap
kali solat Jumaat sebanyak 5 kali, maka dosanya akan diampunkan Tuhan
kerana dia telah bertaubat. Inilah doanya : Ilaahii lasta lil firdausi
ahlan, walaa aq waa a laa naaril jahiim, fahablii taubatan waghfir
dzunuubii, fainnaka ghaafirudzzanbil aziim"
*Rasulullah SAW bertanya:* "Hai iblis! Siapakah yang benar-benar menjadi
kegemaranmu?"
*Jawab iblis laknatullah:* "Apabila lelaki dan perempuan tidak mencukur
atau mencabut atau menggunting bulu di ari-arinya selama 40 hari, maka
aku akan tinggal mengecilkan diri seperti pepijat bersarang di situ,
begitu juga, (menjadi) tempat ku bergantung dan berbuai pada bulu ketiak
orang yang tidak mencukurnya atau mencabutnya"
*Rasulullah SAW bertanya:* "Hai iblis! Siapakah saudaramu?"
*Jawab iblis laknatullah:* "Orang yang tidur meniarap atau tidur
(nyenyak) di waktu subuh, maka dia masih tidur dan tidak segera solat
subuh, maka aku akan mengulitnya sehingga dia lena sehingga terbit
matahari dan begitu juga pada waktu zohor, asar dan maghrib, aku (akan)
beratkan hatinya (sehingga) menjadi malas mengerjakan solat."
(Apabila hendak tidur, bacalah BismillaahirRahmaanirRahiim sebanyak 21 X)
*Rasulullah SAW bertanya:* "Hai iblis! Dengan jalan manakah yang boleh
membinasakanmu?"
*Jawab iblis laknatullah:* "Orang yang banyak menyebut nama Allah SWT
dan banyak memberikan sedekah dengan tidak diketahui orang,
memperbanyakkan taubat, memperbanyakkan tadarrus Al-Qur an serta solat
di waktu malam."
*Rasulullah SAW bertanya:* "Hai iblis! Apakah pula yang memecahkan
penglihatan engkau?"
*Jawab iblis laknatullah:* "Orang yang banyak beriktikaf di masjid
kerana Allah SWT"
(lafaz niat iktikaf Nawaitul I tikaaf fii Haa dzal masjidi sunnatan
lilLaahiTa aala )
*Rasulullah SAW bertanya:* "Hai iblis! Apa pula yang merantai engkau?"
*Jawab iblis laknatullah:* "Penjual (peniaga) yang betul timbangan (dan)
sukatannya, ukuran dan tukarannya."
*Rasulullah SAW bertanya:* "Hai iblis! Apabila umatku memberi salam
antara satu dengan yang lain, bagaimanakah keadaanmu?"
*Jawab iblis laknatullah:* "Apabila dua orang (muslim) bertemu di tengah
jalan, lantas memberikan salam (Assalaamualaikum warohmatull hiwabaa
rakaatuh) dan dijawab oleh saudaranya, maka terasa seperti pecah dada
ku, maka aku pun meratap kerana kedua-duanya telah diampunkan apabila
berpisah keduanya"
*Rasulullah SAW bertanya:* "Hai iblis! Siapakah pula sahabat karibmu?"
*Jawab iblis laknatullah:* "Orang yang minum arak atau tuak (samsu) atau
(ketagih) candu atau ganja (termasuk penyalahgunaan dadah) kerana
kemerbahayaannya telah nyata menyebabkan perpecahan, perkelahian dan
perceraian"
*Rasulullah SAW bertanya:* "Hai iblis! Siapakah pula yang bersekutu dan
sekedudukan dengan engkau?"
*Jawab iblis laknatullah:* "Apabila bertemu lelaki dengan
perempuan-perempuan muda, maka aku duduk pada leher perempuan-perempuan
muda itu, aku hiaskan wajahnya (perempuan) dengan jelingan dan senyuman
yang menarik hati serta apabila terpandang belakang (perempuan), maka
terpandanglah lehernya (perempuan) yang halus dengan pinggang dan
punggungnya melenggang yang membangkitkan nafsunya (lelaki) serta
manakala terpandang hadapannya (perempuan), aku hiaskan dadanya
(perempuan) supaya bergetaran serta aku panah tepat pada jantung hati
keduanya (lelaki dan perempuan) atau salah satu daripadanya sehingga
tergerak syahwatnya. Orang yang tiada memelihara hatinya, nescaya tidak
terpelihara farajnya dan apabila tidak memelihara farajnya, maka tidak
terpeliharalah imannya."
*Rasulullah SAW bertanya:* "Hai iblis! Di manakah kediamanmu?"
*Jawab iblis laknatullah:* "Pada rumah berhala dan pada mana-mana batu,
kayu, tembaga dan sebagainya (bahan pujaan). Apabila mereka menyembah
(berhala, batu, kayu, tembaga dan sebagainya), maka aku cenderungkan
hati mereka supaya bertambah-tambah keyakinannya terhadap pekerjaan
mereka (menyembah berhala) yang syirik itu. Betapa ramainya umat tuan
hamba telah aku pesongkan sehingga memasuki rumah berhala Majusi dan
Hindu yang menunjukkan betapa nipisnya iman mereka."
*Rasulullah SAW bertanya:* "Hai iblis! Di manakah tempat perhimpunanmu?"
*Jawab iblis laknatullah:* "Pada rumah wayang dan tempat majlis tarian
dan seumpamanya seperti tempat percampuran lelaki dan perempuan (secara
bebas)"
*Rasulullah SAW bertanya:* "Hai iblis! Aku lihat engkau
mengintai-ngintai di dalam masjid, apakah yang hendak engkau lakukan?"
*Jawab iblis laknatullah:* "Aku hendak mengganggu orang yang sedang
bersolat di situ."
*Rasulullah SAW bertanya:* "Kenapa engkau tidak takutkan orang yang
sedang bersolat dan bermunajat dengan Tuhannya? Sebaliknya engkau takut
pula dengan orang yang sedang tidur di sebelahnya padahal orang (yang
sedang tidur) itu (mungkin) dalam keadaan lalai"
*Jawab iblis laknatullah:* "Adapun orang yang sedang bersolat itu amat
jahil sekali, (maka) mudahlah untuk aku merosakkan (melalaikan)
solatnya, tetapi orang yang sedang tidur itu (sebenarnya) alim. Maka
apabila aku menggoda dan cuba merosakkan solatnya, aku takut kalau-kalau
orang alim itu bangun dari tidurnya lalu menegur serta memperbetulkan
solat si jahil itu"
*Rasulullah SAW bertanya:* "Hai iblis! Apakah kata-kata pujian bagimu?"
*Jawab iblis laknatullah:* "Suara orang yang bernyanyi dan
berpantun-seloka serta suara bunyi-bunyian kecuali orang yang bernyanyi,
berpantun, bernazam memuji Tuhan, bernasyid serta berselawat di atas nabi"
*Rasulullah SAW bertanya:* "Hai iblis! Siapakah yang sekaum denganmu?"
*Jawab iblis laknatullah:* "Orang yang menipu harta orang dan memakan
harta anak yatim serta memakan riba"
*Rasulullah SAW bertanya:* "Hai iblis! Sebab apakah engkau gelapkan hati
manusia?"
*Jawab iblis laknatullah:* "Mereka yang makan dan minum dengan (punca)
mata pencarian yang haram kerana mereka buta dalam mencari harta yang
halal serta mereka banyak tidur sehingga matahari tinggi dan
meninggalkan solat subuh serta memenuhi perutnya dengan kenyang sekali"
*Rasulullah SAW bertanya:* "Hai iblis! Siapakah yang menggembirakan hati
engkau?"
*Jawab iblis laknatullah:* "Orang kaya yang bakhil dan orang yang tidak
mengeluarkan zakat untuk hamba Allah yang dhaif, malah zakatnya dihantar
kepada orang lain padahal kaumnya miskin, kerana orang yang bakhil itu
seteru Allah SWT serta orang yang tidak mengeluarkan zakat itu akan
masuk ke dalam neraka yang paling bawah bersama-sama dengan ku."
*Rasulullah SAW bertanya:* "Hai iblis! Siapakah yang menyuburkan badan
engkau?"
*Jawab iblis laknatullah:* "Orang yang berhasad dengki dan orang yang
tidak mempelajari hukum Islam serta semua perempuan yang jahat dan
perempuan yang merosakkan dirinya serta perempuan yang menjual maruahnya"
*Rasulullah SAW bertanya:* "Hai iblis! Jika seorang ulama meninggal
dunia, bagaimanakah keadaanmu?"
*Jawab iblis laknatullah:* "Telah subur dan bertunaslah hasutan ku dan
pekerjaan ku."
(Sabda Rasullullah SAW - yang bermaksud Barangsiapa yang berdukacita di
atas kematian seorang ulama, maka dituliskan Allah SWT pahala baginya
seribu ulama dan seribu syuhada, Sabda Rasulullah SAW lagi yang
bermaksud Akan datang atas umatku yang melarikan diri dari ulama atau
mereka yang membenci golongan yang mengajar agama, maka diberikan Allah
SWT 3 jenis bala ke atas mereka (yang membenci atau melarikan diri dari
ulama dan seumpamanya) (1) Dihilangkan keberkatan dalam pencariannya
(rezeki), (2) Didatangkan Allah SWT ke atas mereka seorang ketua yang
zalim atau raja yang zalim, dan (3) dikeluarkan (dimatikan) mereka
daripada dunia dengan tidak beriman Na uu dzubillaaHimin dzaalik kita
berlindung dengan nama Allah SWT )"
*Rasulullah SAW bertanya:* "Hai iblis! Jika umatku bersolat jemaah,
bagaimanakah keadaanmu?"
*Jawab iblis laknatullah:* "Sesungguhnya segala simpulan (tali pengikat)
tipudaya ku telah mereka leraikan"
(Maka sabda Rasulullah SAW yang bermaksud Barangsiapa solat 5 waktu,
maka dia akan mendapat 5 perkara (1) Tidak akan terkena pada dirinya
kefakiran (kemiskinan), (2) Diangkatkan darinya siksa kubur oleh Allah
SWT., (3) Dianugerahi orang itu dengan kitab tulisannya (perbuatan di
dunia) pada sebelah kanan (pihak yang selamat), (4) Melalui titian
(Siraatal Mustaqiim) di atas neraka sepantas kilat, (5) Dimasukkannya
Allah SWT ke dalam syurga tanpa sebarang hisab dan tanpa sebarang
siksaan. Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud Solat lelaki berjemaah
lebih baik daripada solat 40 tahun di rumahnya seorang diri dan solat
berjemaah itu mendapat 27 darjat - serta solat berjemaah di rumahnya
bersama anak (anak) dan isterinya akan mendapat pahala haji dan umrah )
*Rasulullah SAW bertanya:* "Hai iblis! Jika umatku berselawat ke atas
ku, bagaimanakah keadaanmu?"
*Jawab iblis laknatullah:* "Mereka telah membelah muka ku disebabkan
ingatan kuat terhadap tuan hamba."
(Maka sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Barangsiapa berselawat ke
atasku, maka para Mailaikat akan memohon diampunkan (segala dosanya) dia
dan dia adalah sebahagian daripada isi syurga"
*Rasulullah SAW bertanya:* "Hai iblis! Jika umatku bersolat Hari Raya di
masjid, bagaimanakah keadaanmu? Kerana Tuhanku yang Maha Besar telah
berfirman: "Hai sekelian malaikat! Saksikanlah olehmu bahawa
sesungguhnya telah Aku ampunkan sekelian dosa umat Muhammad, lelaki dan
perempuan." Maka apabila telah selesai dari solat dan khutbah dibacakan,
maka Firman Allah SWT: "Hai umat Muhammad! Pulanglah kamu ke rumah
masing-masing, sesungguhnya Aku telah mengampunkan dosa kamu yang
terdahulu dan yang kemudian dan Aku telah gantikan dosamu itu dengan
kebajikan!".
*Jawab iblis laknatullah:* "Ya Rasulullah! Apabila umat tuan hamba pergi
(untuk) bersolat Hari Raya, maka aku sangat berdukacita dan kesal. Maka
aku pun menjerit sehingga datang sekelian bala tentera ku dan (mereka)
bertanya hai raja kami! Siapakah yang engkau marah? Adakah ianya
(puncanya) dari langit atau dari bumi? Perintahkanlah kami sekelian
pergi membinasakan barang di langit dan di bumi. Maka aku menjawab hai
bala tenteraku! Apa yang menyebabkan aku berdukacita ialah kerana Allah
SWT telah mengampuni umat Muhammad pada Hari Raya ini. Wahai sekelian
bala tenteraku! Tidakkah kamu mengetahui bahawa Allah SWT telah
memberkati puasa umat Muhammad? Dan Tuhan amat mengasihi dan mengasihani
mereka dengan penuh Rahmat serta diperkenankan segala doa mereka dan
diampunkan segala kesalahan mereka? Wahai tenteraku! Hendaklah kamu goda
mereka itu supaya malas beramal ibadat dan resah dengan berjalan ke sana
dan ke mari serta asyik berjudi serta bersukaria memuaskan nafsu dengan
mengerjakan maksiat supaya datang kemurkaan Tuhan ke atas mereka itu dan
ditimpakan bala ke atas mereka kerana dengan demikian, akan membawa
kesenangan di dalam hatiku. Maka berangkatlah sekelian bala tentera
iblis syaitan untuk mengganggu umat Muhammad"
*Rasulullah SAW bertanya:* "Jika umatku membaca doa akhir tahun
(Hijrah), bagaimanakah keadaanmu?"
*Jawab iblis laknatullah:* "Telah bersusah payah aku menggoda mereka
sepanjang tahun, tiba-tiba mereka membaca doa (yang hanya) mengambil
masa yang sedikit, maka lemahlah aku lalu aku menyapu dengan tanah (dan
berkata), aduhai, celaka betapa malang dan celaka diriku dengan
kerugian, maka aku pun berpaling (dan) pergi"
(Doa Hujung Tahun AllaaHomma maa amiltu min amalin fii HaaziHissanati
mimmaa nahaitanii anHu, walam tar Dhahu walam tan sahu, wahamilta
alaiyya ba da qud rotika alaa, uquubatii, wada autanii ilattaubati ba da
jur aatii alaa ma Siatika, fainnii astaghfiruka faghfirlii waHablii min
amalin tarDhahu, wa wa datanii alaihitsawwaab )
*Rasulullah SAW bertanya:* "Hai iblis! Jika umatku membaca doa awal
tahun, bagaimanakah keadaanmu?"
*Jawab iblis laknatullah:* "Ya Nabi Allah! Putuslah harapan ku, kerana
barangsiapa membaca doa awal tahun, (maka) Tuhan memerintahkan dua
Malaikat supaya membakar buku kesalahan hambaNya dan dituliskan
kebajikan di dalam (buku kebajikan) disebabkan orang yang membaca doa ini."
(Doa Awal Tahun AllaaHomma antal abdiyyulQadiim,waHaaziHi sanatu
jadiidatun, as aluka fiihal iSmata minassyaiTooni wa au liyaa ihi. Wal
au na alaa Haa dzihiinnafsil ammaarati bissuu wal ish ti ghaala bisaa
yuQorribunii ilaika yaa Kariim )
*Rasulullah SAW bertanya:* "Hai iblis! Siapakah yang menyokong engkau?"
*Jawab iblis laknatullah:* "Orang yang tidak bertaubat atas dosanya dan
suka ketawa ketika berbuat dosa berkenaan. Ya Nabi Allah! Telah aku
binasakan ramai manusia dengan (menggoda mereka) mengerjakan dosa
daripada berbagai-bagai (jenis) maksiat, maka aku gembira. Tiba-tiba,
mereka mengucapkan kalimah-kalimah Laa ilaa Ha illAllaah dan istighfar,
maka binasalah aku, kerana pada masa aku dibuang ke dunia (dulu), aku
mengembara sambil bersiul-siul dan orang yang bersiul itu adalah
penghibur iblis syaitan, tetapi orang yang azan itu adalah penghalau
iblis syaitan, kerana para malaikat akan hadir bersolat bersama-sama
dengan mereka ."
*Rasulullah SAW bertanya:* "Hai iblis! Sekarang apalah kesudahan ikhtiar
engkau di atas umatku, kerana aku telah dibangkitkan oleh Tuhan ke dunia
ini bagi menyelamatkan sekelian bani Adam daripada kufur kepada iman,
daripada gelap gelita kepada terang benderang?!"
Maka iblis pun mengangkat kepalanya ke hadhrat Tuhan dan berkata: "Yaa
Rabbi! Demi kemuliaan Engkau, sentiasalah aku akan berusaha dengan
bersungguh-sungguh pada menarik sekelian anak Adam kepada berbagai-bagai
jalan maksiat selama ada nyawa di tubuh mereka, aku jadikan pemuda dan
wanita bercampur dan berkenalan, supaya aku dapat mencelah di dalamnya."
(Maka) Datanglah Firman Allah SWT :"Hai mala'un, Demi Kebesaran dan
KetinggianKu, bahawa Aku sentiasa bersedia untuk mengampuni dosa umat
Muhammad selagi mereka itu memohon ampun kepadaKu"
*Rasulullah SAW bertanya:* "Hai iblis! Apa lagi yang engkau musykilkan?"
*Jawab iblis laknatullah:* "Ya Rasulullah! Bahawasanya aku sangat ajaib
(hairan) melihat dua macam hal sekelian hamba Allah SWT iaitu (1) Mereka
itu mengaku kasihkan Tuhan, walhal mereka itu taatkan aku dan berbuat
maksiat, (2) Mereka itu sangat marah kepada aku, tetapi mereka menurut
hasutan ku."
(Maka) Datanglah Firman Allah SWT: "Hai mala un! Demi Kemuliaan dan
KebesaranKu, Aku anugerahi umat Muhammad (dengan) 2 kebahagiaan : (1)
Kasih mereka kepadaKu dijadikan kifarah (penebus dosa) bagi maksiat
mereka kerana tipudayamu, dan (2) Kemarahan mereka kepadamu Aku jadikan
kifarah (penebus dosa) perbuatan maksiat mereka kepadaKu"
Maka iblis tercengang-cengang mendengar umat Muhammad yang sangat
dikasihi Tuhan GhafuururRahiim yang Maha Mengampuni lagi Maha
Mengasihani hambaNya dengan limpah rahmatNya.
Setelah selesai baginda Rasulullah SAW berdialog dengan iblis
laknatullah, maka baginda SAW pun menghalau iblis laknatullah dengan
sabdanya : "Wahai laknatullah! Nyahlah engkau dari hadapanku ini" Maka
iblis laknatullah pun keluar dengan perasaan yang amat dukacita.
Maka hairanlah para sahabat RA yang hadir dalam majlis berkenaan
mendengar tipudaya iblis laknatullah yang menyelubungi seluruh umat manusia.
Sabda Nabi SAW: "Hai para sahabatku! Ketahuilah olehmu bahawa iblis
laknatullah telah membuat kesalahan atas beberapa sebab: (1) ia engkar
dan membantah perintah Tuhan, (2) ia takbur dan besar diri (3) ia
berhasad dengki dengan nabi Adam AS (4) Ia menghasut dan mengkhianati
(manusia) (dari) seorang kepada seorang (yang lain) seperti yang telah
ia ajarkan kepada Qabil dengan tipudayanya sehingga berani Qabil
melakukan pembunuhan ke atas saudaranya Habil yang disayangi oleh Nabi
Allah Adam AS"
Nabi SAW berkata lagi: "Bahawa pada suatu hari, iblis mengadap Musa bin
Imran AS dan berkata : Yaa Nabi Allah! Apabila tuan hamba bermunajat
kepada Allah SWT di Bukit Tursina, aku hendak bertaubat kepada Allah
SWT, adakah (taubat) aku diterimanya?"
Maka sukacitalah nabi Musa AS mendengarkan iblis laknatullah yang hendak
bertaubat itu lalu baginda menyanggupi permintaan iblis laknatullah.
Setelah tiba di Bukit Tursina, maka berdoalah baginda kepada Allah SWT
memohon petunjuk. Maka datanglah firman Allah SWT: "Wahai Musa,
kesalahan iblis boleh Ku ampunkan dengan syarat hendaklah ia (iblis)
bersujud pada kubur nabi Adam". Maka nabi Musa AS pun menyampaikan
firman Allah SWT kepada iblis laknatullah. Iblis laknatullah mengeluh
dan berkata: "Wahai Musa! Semasa Adam masih hidup pun aku tidak sudi
bersujud kepadanya, inikan pula, Adam telah mati." Maka iblis
laknatullah pun beredar.
Sabda Nabi SAW: Bermula (tegaknya) tiang dunia ini dengan 4 perkara: (1)
Dengan ilmu para ulama, (2) Dengan adilnya sekelian raja-raja, (3)
Dengan kemurahan (hati) orang-orang kaya, (4) Dengan doa sekelian fakir
miskin.
Maka sekiranya tidak ada ulama, nescaya binasalah sekelian orang yang
jahil dan sekiranya raja-raja tidak adil, nescaya (segolongan) manusia
(ibarat) memakan (segolongan) manusia yang lain sebagaimana harimau
menghambat dan memakan kambing. Sekiranya (pula) tidak ada kemurahan
(hati) orang-orang kaya, nescaya binasalah sekelian fakir miskin dan
sekiranya tidak ada doa fakir miskin, nescaya runtuhlah langit dan bumi.
Wallahu'alam.
terima kasih atas bacaannya,,,
ReplyDeleteALLOHHUAKBAR...........
Ingatlah wahai saudara seIslamku..iblis laknatullah musuh umat Islam...
ReplyDelete