Wednesday 11 May 2011

Mengapakah Anda Berhutang?

Agama Islam membenar malah mengharuskan seseorang itu berhutang ketika
berdepan dengan kesusahan dan kesempitan hidup yang melibatkan masalah
kewangan. Dalam masa yang sama, Islam memberi galakkan kepada umatnya
agar memberi bantuan dan pertolongan kepada mereka yang memerlukan
dalam pelbagai bentuk seperti pinjaman secara hutang bagi meringankan
beban yang ditanggung oleh mereka lebih-lebih lagi dalam hal keperluan
asasi.
Firman Allah S.W.T :

Maksudnya :"Sesungguhnya orang-orang lelaki yang bersedekah dan orang-orang
perempuan yang bersedekah, serta mereka memberikan pinjaman kepada
Allah (semata-mata untuk mendapatkan pahala) dengan pinjaman yang baik
(ikhlas) akan digandakan balasannya dan mereka pula akan beroleh pahala
yang mulia" (Al-Hadid : 18)

Firman Allah S.W.T :
Maksudnya :" Dan bertolong-tolonglah kamu pada jalan kebaikan dan ketaqwaan dan
janganlah bertolong-tolong pada perkara dosa dan permusuhan" (Al-Maidah: 2)
Namun demikian, Islam begitu teliti dan amat memandang berat dalam soal
memberi, menerima dan membayar semula hutang tersebut kerana ia
melibatkan hubungan sesama manusia ketika hidup di dunia ini
sehinggalah ke akhirat kelak.

Mengapakah Anda Berhutang?

Ada banyak faktor yang menyebabkan seseorang itu terjebak dalam hutang antaranya ialah :-

1) Ingin memenuhi kehendak dan tuntutan hawa nafsu untuk memiliki sesuatu yang tidak mampu ditunaikan kecuali dengan berhutang.

2) Pengaruh daripada sahabat handai atau jiran tetangga yang sering
memberi galakan untuk berhutang, lantaran itu ia berbuat demikian,
walaupun pada hakikat dirinya itu tidak memerlukan, tetapi hanyalah
untuk berbangga dengan apa yang dimilikinya.

3) Sikap tidak merasa puas dan cukup dengan apa yang telah dimiliki dan
sanggup berhutang demi memenuhi kehendak dan hajatnya tanpa memikirkan
akibat yang mendatang.

4) Kemudahan pinjaman yang disediakan oleh beberapa pihak tertentu
seperti institusi kewangan dan perbankan bagi menggalakkan lagi amalan
berhutang.

5) Berkehendakkan sesuatu benda yang melibatkan metarial dan kebendaan
dengan cepat dan pantas walaupun pada hakikatnya ia tidak mampu berbuat
demikian.

Dalam hal ini jika perkara yang hendak dimiliki itu merupakan keperluan
asasi (dharuriat) seperti makanan, minuman, tempat tinggal, pakaian,
pelajaran dan seumpamanya, maka Islam membenarkan berhutang sebagaimana
dalam sebuah hadis iaitu :-

Maksudnya :"Daripada Abu Hurairah R.A., berkata seseorang ; Ya Rasulullah,
pekerjaan apakah yang paling baik ?, Baginda bersabda 'Memasukkan
kepada saudara kamu kegembiraan atau melunaskan hutangnya atau memberi
roti (makanan) kepadanya."Tetapi jika perkara yang ingin dimiliki itu bukan merupakan perkara
asasi atau penting dalam kehidupan seseorang itu, maka tidak perlulah
ia berhutang, kerana hanya akan menambahkan bebanan lebih-lebih lagi
jika melibatkan institusi kewangan dan perbankan yang mengamalkan
sistem riba'.

Implikasi Amalan Berhutang

1) Penyakit berhutang ini jika diamalkan akan menjadi satu budaya dalam
kehidupan manusiayang boleh mendatangkan kesan negatif kepada pemiutang
seperti muflis disebabkan bebanan hutang yang tinggi serta gagal
melunaskan hutangnya.

2) Jiwa orang yang berhutang tidak akan tenteram dan aman, hidupnya
dalam kancah resah gelisah dihantui oleh bebanan dan tuntutan hutang
yang tinggi.

3) Seseorang yang terbeban dengan hutang itu akan memungkinkan ia
melakukan pelbagai perkara yang dilarang oleh Syarak seperti mencuri
dan menjual maruah diri semata-mata untuk melunaskan hutangnya.

4) Orang yang berhutang akan terikat hidupnya di dunia dan akan
tergantung amalan dan rohnya setelah meniggal dunia sehinggalah
dilunaskan segala hutang piutangnya semasa hidup. Sabda Rasulullah
S.A.W :-
Maksudnya :
"Jiwa orang mukmin akan tergantung dengan hutangnya (iaitu tidak
dihukum selamat atau celaka) sehinggalah dia menjelaskan hutangnya ".

Rasulullah S.A.W pernah berwasiat kepada para sahabat Baginda agar mengurangkan hutang seperti sabdanya :-

Maksudnya :
'Kurangkanlah dirimu daripada melakukan dosa, maka akan mudahlah bagimu
ketika hendak mati. Kurangkanlah daripada berhutang nescaya kamu akan
hidup bebas'

5) Amalan berhutang ini bukan sahaja melibatkan kehidupan dunia
semata-mata, bahkan ia berpanjangan hingga ke hari akhirat. Sabda
Rasulullah S.A.W :-

Maksudnya :
" Sesungguhnya sebesar-besar dosa di sisi Allah ketika seseorang hamba
itu berjumpa dengan Allah nanti selepas dosa besar lain yang ditegah
ialah seseorang lelaki yang berjumpa dengan Allah di hari Hisab dengan
mempunyai hutang yang belum dijelaskan lagi "

6) Mereka yang berhutang walau sebanyak manapun amalan kebaikan yang
dilakukan, ia tidak akan selamat di dunia dan di akhirat sekalipun dia
mati syahid. Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud :-
"Semua dosa-dosa orang yang mati syahid diampuni kecuali hutangnya. " (Riwayat Bukhari, Tarmizi, An-Nasai' dan Ibn. Majah)

Rasulullah S.A.W sendiri tidak akan menyembahyangkan jenazah orang yang
masih mempunyai hutang. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh
Sayyidina Ali Karramallahu Wajhah, bahawa bila didatangkan kepada
Rasulullah S.A.W satu jenazah, Rasulullah S.A.W tidak akan bertanya
tentang amalan si mati, tetapi bertanya apakah si mati mempunyai hutang
atau tidak. Jika si mati mempunyai hutang, baginda menyuruh sahabatnya
menyembahyangkan jenazah tersebut atau baginda meminta sesiapa yang
sanggup menaggung hutang si mati. Jika tiada, maka hutang tersebut akan
diserah atau ditanggung oleh pihak Baitulmal.

Contoh - contoh Dalam Situasi Berhutang

Pelbagai contoh dan situasi behubung dengan hutang yang boleh kita teladani dan insafi antaranya ialah :-

1. Seseorang peniaga membuka sesuatu perniagaan dan memberi kemudahan
berhutang kepada pelanggan-pelanggan, setelah tiba tempoh pembayaran
hutang tersebut, mereka gagal berbuat demikian, perkara ini sudah tentu
akan mendatangkan kerumitan kepada peniaga tersebut untuk meneruskan
perniagaan sehingga boleh menyebabkan perniagaan itu ditutup.

2. Seseorang yang diterima untuk melanjutkan pengajian dengan mendapat
pinjaman biasiswa. Setelah membuat perjanjian untuk membayar balik
pinjaman tersebut dan setelah sampai tempohnya , dia mengabaikan
perjanjian itu. Perkara ini akan menimbulkan kesukaran kepada pihak
yang memberi pinjaman untuk meneruskan perkhidmatan seperti itu kepada
generasi yang akan datang.

3. Bayangkanlah jika seseorang itu berhutang dengan institusi kewangan
yang berkaitan dengan orang ramai umpamanya pinjaman kewangan kerajaan
atau koperasi sudah pasti ia akan menjadi lebih rumit untuk
diselesaikan apabila tiba hari pengadilan di hadapan Allah S.W.T kerana
melibatkan ramai pihak. Oleh itu kita perlu berhati-hati dalam hal
berhutang supaya tidak tergolong dalam golongan-golongan yang tersebut
di atas.

Implikasi Melewat-lewatkan Bayaran Hutang

Apabila seseorang itu berhutang, maka ia wajib membayarnya semula dengan kadar segera setelah berkemampuan berbuat demikian.

Islam menganjurkan antara perkara-perkara yang wajib disegerakan di
atas dunia ini ialah membayar segala hutang piutang selain daripada
menyegerakan pengkebumian jenazah dan mengkahwinkan anak perempuan.

Seseorang yang suka melewat-lewatkan bayaran hutang setelah
berkemampuan untuk membayarnya, boleh mendatangkan kesan yang buruk
dalam kehidupannya bukan sahaja didunia bahkan di akhirat antaranya:-

1) Mereka akan ditimpa kehinaan dan hilang maruahnya
2) Hidup mereka tidak akan mendapat keredhaan dan keberkatan Allah S.W.T
3) Perbuatan mereka itu digolongkan dalam perbuatan zalim
4) Amalan kebajikan mereka tidak akan diterima.

Sabda Rasululah S.A.W:

Maksudya:-
" Penangguhan hutang oleh orang yang berkuasa membayarnya adalah satu
kezaliman, halal maruahnya dan hukuman ke atasnya (iaitu pemberi hutang
boleh mengambil tindakan ke atas diri dan maruahnya)."

Seseorang yang berhutang itu, telah berjanji untuk membayar hutang
mengikut sesuatu tempoh, tetapi dia tidak menepatinya, maka dia
tergolong dalam golongan orang yang munafik sebagaimana sabda
Rasulullah S.A.W yang bermaksud:-

" Tanda-tanda orang munafik itu ada empat iaitu;
1) Apabila bercakap dia mendustainya
2) Apabila berjanji dia memungkirinya
3) Apabila diberi amanah dia mengkhianatinya
4) Apabila bergaduh dia berlebih-lebihan. "

Dalam konteks masyarakat kita pada hari ini terdapat segelintir
masyarakat yang berhutang, tetapi tidak menjelaskan hutang tersebut.
Seringkali kita dengar dan lihat melalui laporan media cetak dan
elektronik menerangkan tentang situasi mereka yang terpaksa berdepan
dengan pelbagai bahaya bukan sahaja kepada dirinya malah turut
melibatakan ahli keluarga yang menjadi mangsa seperti diugut, dipukul,
disamun, dibunuh dan sebagainya.

Dalam masa yang sama, pinjaman hutang yang terlalu tinggi ditambah pula
dengan bunga-bunganya menyebabkan si pemiutang tidak mampu untuk
membayarnya. Disebabkan tidak tahan melalui semua itu, mereka mengambil
jalan pintas dengan membunuh diri dan ada juga dikalangan mereka yang
dibunuh dengan kejam.

Syor Dan Saranan

� Setiap orang diharuskan berhutang tetapi harus diingat janganlah
nilai hutang itu terlalu tinggi sehingga membebankan diri sendiri
apabila hendak membayarnya.

� Setiap hutang akan melibatkan pemberi dan pemiutang. Bagi menjamin
hubungan mesra sesama manusia, adalah menjadi kewajipan dan
tanggungjawab si pemiutang untuk membayar semula apabila sampai tempoh
perjanjiannya. Allah S.W.T berfirman :-

Maksudnya :
" Wahai orang-orang yang beriman, penuhilah serta sempurnakanlah perjanjian" (Al-Ma'idah : 1 )

� Pihak yang memberi hutang perlu mewujudkan satu perjanjian atau
kontrak semasa berlakunya 'akad. Ini bagi mengelakkan sebarang bentuk
penipuan berlaku seperti tidak langsung membayar semula hutang
tersebut. Allah berfirman:-

Maksudnya :
" Wahai orang yang beriman apabila kamu menjalankan sesuatu urusan
dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa tertentu
makan hendaklan kamu menulis (perjanjian hutang dan bayaran) dan
hendaklah ditulis oleh seorang yang adil dan janganlah sesorang penulis
enggan menulis sebagaimana Allah mengajarkan. Hendaklah ia menulis dan
orang yang berhutang merencana dengan jelas dan hendaklah bertakwa
kepada Allah dan janganlah ia mengurangkan sesuatu pun dari hutangnya
itu" (Al-Baqarah : 282)

� Orang yang berhutang hendaklah mempunyai sikap bertanggungjawab di
atas hutangnya. Jangan sekali-kali menangguhkan pembayaran hutang
tersebut apabila mempunyai peluang untuk membayar hutang kerana
perbuatan tersebut digolongkan dalam perbuatan zalim dan dia berhak
mendapat hukuman di atas perbuatannya itu.

� Orang yang berhutang hendaklah tidak terpengaruh dengan anasir-anasir
buruk yang boleh membawa kepada bebanan hutang. Ia perlu mengamalkan
sikap sabar dan cukup dengan apa yang dimiliki.

� Seseorang yang ingin berhutang hendaklah berniat serta bercita-cita
untuk melunaskan hutangnya, semoga Allah akan memudahkan kepadanya
untuk menjelaskan hutang.
Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:-

" Dan barangsiapa yang berhutang, kemudian ia berniat tidak akan
membayar hutangnya, lalu ia mati, maka Allah akan bertanya dihari
Kiamat: Apakah kamu mengira bahawa aku tidak akan menuntut hak
hambaku?, maka diambillah amal kebaikkan orang itu, dan diberikan
kepada orang yang memberi hutang, dan jika tidak mempunyai amal
kabaikkan, maka dosa-dosa orang yang memberi hutang itu akan diberikan
kepada orang yang berhutang"

� Rasulullah S.A.W. mengajar kita supaya sentiasa berdoa kepada Allah
agar dijauh dan dibebaskan dari belenggu hutang dengan doanya yang
masyhur:-

Maksudnya :
" Ya Allah, sesungguhnya aku mohon perlindunganMu dari bebanan hutang dan paksaan dari orang yang memaksa"

Marilah kita bersama-sama menunaikan amanah ini dengan yang
dipertanggungjawabkan itu dengan penuh rasa kejujuran dan komited agar
dengannya kita bebas daripada tanggungan hutang serta mendapatkan
keredhaan Allah S.W.T. di akhirat kelak insyaAllah.
>
Kesimpulan

� Islam sangat mengambil berat dalam soal pembayaran hutang, dalam erti
kata lain pembayaran hutang merupakan suatu syarat untuk mendapatkan
keredhaan Allah S.W.T.

� Seseorang yang berhutang hendaklah berniat dalam hatinya untuk
menunaikan hutang tersebut mengikut tempoh masanya kerana Allah S.W.T
akan memudahkan baginya untuk membayar hutangnya.

� Seseorang yang berhutang janganlah menangguhkan bayaran jika
mempunyai peluang untuk membayarnya kerana perbuatan tersebut adalah
tergolong dalam perbuatan orang yang zalim.

� Kita mesti mempunyai sifat syukur kepada Allah S.W.T. dengan apa yang
telah kita miliki dan melaksanakan sifat amanah serta tanggungjawab
agar kita dilindungi daripada bahaya dunia dan akhirat.

No comments:

Post a Comment