Sunday 16 October 2016

adakah kita layak memasuki syurga ALLAH S.W.T

ALLAH SWT menjelaskan bahawa orang yang akan memasuki syurga-Nya kelak
adalah dalam keadaan berkumpulan. Ia dijelaskan dalam firman-Nya yang
bermaksud: “Dan orang yang bertakwa kepada Rabb-nya dibawa ke syurga
berombongan, apabila mereka sampai ke syurga itu, pintunya terbuka dan
berkatalah kepada mereka penjaganya: Kesejahteraan dilimpahkan atasmu,
berbahagialah kamu, masukilah syurga ini, sedang kamu kekal di
dalamnya.” (QS Az-Zumar: 73)

Ibn Kathir menjelaskan, setiap orang yang bertakwa akan menuju ke syurga
bersama-sama dengan kelompok mereka seperti nabi bersama nabi, golongan
syuhada bersama kumpulan syuhada, golongan ulama bersama kumpulan ulama,
orang yang jujur bersama orang yang jujur dan begitulah seterusnya.
Dalam erti kata lain, setiap orang dikumpulkan sesuai dengan kumpulan
mereka.

Begitu pun, di kalangan kelompok manusia di atas, Rasulullah SAW adalah
orang yang pertama sekali memasuki syurga. Hal ini dijelaskan oleh Anas
bin Malik bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Aku mendatangi pintu syurga
pada hari kiamat, lalu aku meminta dibuka. Penjaga berkata: Siapa
engkau: Aku Muhammad. Penjaga berkata: Aku diperintahkan untuk tidak
membukakannya untuk seorang pun sebelummu.” (HR Muslim)

Selepas Rasulullah SAW memasukinya, barulah kumpulan lain akan
memasukinya mengikut pintu syurga yang ditentukan berdasarkan amalan
mereka. Keadaan ini dijelaskan oleh Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW
bersabda: “Barang sesiapa yang berinfak dengan emas dan perak daripada
hartanya di jalan Allah, maka dia akan dipanggil dari mana-mana pintu
syurga. Syurga itu ada beberapa pintu. Sesiapa yang rajin menunaikan
solat, maka dia akan dipanggil dari pintu solat. Sesiapa yang rajin
bersedekah, maka dia akan dipanggil dari pintu sedekah. Sesiapa yang
berjihad, akan dipanggil dari pintu jihad dan sesiapa yang berpuasa, dia
akan dipanggil dari pintu ar-Rayyan."

Hadis itu menjelaskan syurga mempunyai beberapa pintu. Rasulullah SAW
menjelaskan bahawa syurga itu memiliki lapan pintu. Ia dijelaskan oleh
Umar al-Khattab bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah salah seorang
di antara kamu berwuduk, kemudian menyempurnakan wuduknya, lalu membaca:
Aku bersaksi bahawa tidak ada yang hak kecuali Allah Maha Esa, yang
tiada sekutu bagi-Nya dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan
Rasul-Nya, melainkan dibuka baginya pintu-pintu syurga yang berjumlah
lapan pintu dan ia masuk dari pintu mana saja yang ia kehendaki.” (HR
Muslim)

Pintu syurga ada lapan, tetapi jarak di antara satu pintu dengan yang
lain amat jauh, sejauh di antara Makkah dan Hajar (sebuah kota di
Bahrain). Jarak ini dijelaskan dalam hadis daripada Abu Hurairah, di
mana beliau berkata: “Allah berfirman: Wahai Muhammad, masukkan umatmu
yang tidak dihisab melalui pintu sebelah kanan. Mereka bebas masuk pintu
lainnya bersama orang lain." Rasulullah SAW bersabda: Demi Tuhan yang
jiwa Muhammad ada di tangan-Nya, jarak di antara dua daun pintu syurga
adalah seperti Makkah dan Hajar atau di antara Hajar dan Makkah.” (HR
Bukhari & Muslim).

Di dalam syurga, nikmatnya tidak terhingga, sehingga digambarkan
kenikmatannya adalah sesuatu yang belum pernah terlihat oleh mata, belum
pernah terdengar oleh telinga dan tidak pernah juga terlintas dalam
fikiran manusia.

Di dalam al-Quran, Allah menyifatkan syurga itu dengan beberapa keadaan
seperti firman-Nya: “Di dalamnya ada sungai-sungai daripada air yang
tidak berubah rasa dan baunya, sungai-sungai daripada susu yang tidak
berubah rasanya, sungai-sungai daripada khamar yang lazat rasanya bagi
peminumnya dan sungai-sungai daripada madu yang disaring dan mereka di
dalamnya memperoleh segala macam buah-buahan.” (QS Muhammad: 15)

Mengenai sifat syurga di atas, Rasulullah SAW juga bersabda: “Di dalam
syurga itu ada lautan susu, lautan air, lautan madu dan lautan khamar.
Sungai-sungai itu mengalir daripadanya.” (HR At-Tirmidzi).

Di dalam syurga kelak, tidak akan ada penghuninya yang tidak menikah.
Hal ini dijelaskan oleh Abu Hurairah, di mana Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya rombongan pertama yang masuk syurga seperti bulan pada
malam purnama dan rombongan seterusnya seperti cahaya bintang yang
bersinar di langit, masing-masing daripada mereka mempunyai dua isteri
yang mana mereka dapat melihat sum-sum betisnya daripada luar kulit dan
di dalam syurga tidak ada orang yang tidak menikah.” (HR Bukhari & Muslim).

Malah, mereka diberikan oleh Allah rumah yang diperbuat daripada mutiara
dan ruangnya amat luas tidak terhingga. Keadaan ini dijelaskan oleh
Rasulullah SAW dalam sabda Baginda: “Sesungguhnya di syurga ada rumah
yang diperbuat daripada mutiara yang mempunyai ruang yang luas.” (HR
Bukhari)

Ketika Rasulullah SAW di isra'kan, Baginda diperlihatkan bagaimana rumah
dan keadaan tanah di dalam syurga seperti disabdakan oleh Baginda yang
bermaksud: “Di dalamnya ada kubah-kubah permata dan tanahnya adalah
minyak wangi.” (HR Bukhari & Muslim)

Disebutkan di dalam kitab “ KASYFUL GHAIBIAH” yang ditulis oleh Syeikh
Zainal Abidin bin Muhammad Al-Fathani menerangkan tentang keadaan syurga
dan penduduknya kelak, berkata Ibnu Abbas: “Bahawa syurga itu mempunyai
8 buah pintu gerbang iaitu:

1. Pintu masuk untuk para nabi, syuhada, orang-orang dermawan, orang
yang mendermakan hartanya di jalan Allah. Di atas pintu tersebut
tertulis dua kalimah syahadah yang indah.

2. Pintu masuk bagi orang yang sangat rapih, memenuhi syarat dan rukun
serta meneliti fardhu dan sunnahnya dalam solat.

3. Pintu masuk bagi mereka yang suka mengeluarkan zakat dengan hati yang
tulus ikhlas semata-mata kerana Allah.

4. Pintu masuk orang-orang yang suka menyeru dan mengajak kepada kebaikan.

5. Pintu masuk bagi orang-orang yang dapat mengekang nafsunya dari
melakukan perbuatan yang diharamkan dalam Islam.

6. Pintu masuk bagi orang yang melakukan rukun Islam yang kelima iaitu
melakukan haji dan umrah yang mabrur.

7. Pintu masuk bagi orang-orang yang membela dan berjuang di jalan Allah.

8. Pintu masuk bagi orang yang berbakti kepada kedua orang tuanya,
keluarganya serta sanak saudaranya.

Demikian keterangan yang dinyatakan dalam hadis dimana syurga-syurga itu
telah disediakan oleh Allah dengan beberapa tingkatan yang akan
diberikan kepada hambaNYA sesuai dengan amal perbuatan masing-masing.

Diceritakan, ketika semua para hamba Allah telah dihisab dan telah
menerima buku catatan amalnya yang diterima dengan tangan kanan mereka,
pada waktu itu semua manusia merasa gembira yang tidak terkira, sehingga
mereka yakin bahawa Allah akan memasukkan mereka ke dalam syurga yang
penuh dengan kenikmatan. Manakala mereka akan memasuki gedung yang indah
itu, mereka akan disambut oleh 'wildan' (pelayan muda) yang memang sudah
sekian lama menanti kehadiran orang yang akan mengisi gedung tersebut
(syurga).

Demikianlah keadaan gedung-gedung itu yang sangat indah bentuknya
sedangkan lantainya dihampar dengan permaidani yang indah pula dan di
dalamnya mengalir air sungai yang ditumbuhi oleh pohon-pohon yang sangat
rendang dan buahnya yang manis dan lazat.

Firman Allah SWT: "Dan sampaikanlah berita gembira kepada mereka yang
beriman dan berbuat baik, bahawa bagi mereka disediakan syurga-syurga
yang mengalir sungai-sungai di dalamnya. Setiap mereka diberi rezeki
buah-buahan dalam syurga-syurga itu, mereka mengatakan: " Inilah yang
pernah diberikan kepada kami dahulu ". Mereka diberi buah-buahan yang
serupa dan untuk mereka di dalamnya ada isteri-isteri yang suci dan
mereka kekal di dalamnya." (QS Al-Baqarah: 25)

Dengan mata air terpancar, taman syurga yang terhidang dengan segala
kelazatan adalah destinasi yang aman dan sentosa. Mereka yang
menghuninya kekal di dalamnya, tidak akan merasai kematian lagi.

Terdapat pohon-pohon dan buahan. Sungai mengalir di bawah syurga. Ada
air yang tidak berubah (rasa dan baunya). Terdapat beberapa sungai dari
arak yang lazat bagi orang yang meminumnya dan beberapa sungai dari madu
yang suci bersih.

Penghuninya dilayan anak muda yang beredar di sekitar mereka, yang
cantik seolah-olah seperti mutiara yang tersimpan sebaik-baiknya.

“Dan diedarkan kepada mereka bejana dari perak dan piala-piala minuman
yang keadaannya laksana kaca (nampak jelas isinya) - (keadaannya
laksana) kaca, (sedang ia) dari perak, pelayan-pelayan itu menentukan
kadar isinya sekadar yang cukup betul dengan kehendak penggunanya dan
mereka di dalam syurga itu diberi minum sejenis minuman yang campurannya
daripada zanjabil - iaitu sebuah mata air di dalam syurga yang
disebutkan sifatnya sebagai salsabil dan mereka dilayani oleh anak-anak
muda lelaki yang tetap kekal (dalam keadaan mudanya), yang sentiasa
beredar di sekitar mereka, apabila engkau melihat anak-anak muda itu
nescaya engkau menyangkanya mutiara yang bertaburan.” (QS Al-Insaan: 15-19)

Di syurga juga terdapat teman-teman yang baik akhlaknya lagi cantik
rupanya, iaitu bidadari yang hanya tinggal di tempat tinggal
masing-masing. Bidadari ini cantik berseri seperti permata delima dan
marjan. Kulit mereka putih melepak, cantik matanya, malah pandangannya
tertumpu kepada mereka semata-mata.

Bidadari ini juga tidak pernah disentuh oleh manusia mahupun jin. Mereka
bersenang lenang, bergurau senda di atas cadar hijau warnanya dan
permaidani yang sangat indah. Golongan yang sangat bertuah ini disebut
sebagai 'Ashaabul Yamiin' (golongan kanan).

Wallahua'lam.

Monday 11 August 2014

Apabila Sangkakala Ditiup..


✐ Selepas Malaikat Israfil meniup sangkakala (bentuknya seperti tanduk besar) yang memekakkan telinga, seluruh makhluk mati kecuali Izrail & beberapa malaikat yang lain. Selepas itu, Izrail pun mencabut nyawa malaikat yang tinggal dan akhirnya nyawanya sendiri. 

✐ Selepas semua makhluk mati, Tuhan pun berfirman marhumnya “Kepunyaan siapakah kerajaan hari ini?” Tiada siapa yang menjawab. Lalu Dia sendiri menjawab dengan keagunganNya “Kepunyaan Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa.” Ini menunjukkan kebesaran & keagunganNya sebagai Tuhan yg Maha Kuasa lagi Maha Kekal Hidup, tidak mati. 

✐ Selepas 40 tahun, Malaikat Israfil a.s. dihidupkan, seterusnya meniup sangkakala untuk kali ke-2, lantas seluruh makhluk hidup semula di atas bumi putih, berupa padang Mahsyar (umpama padang Arafah) yang rata tidak berbukit atau bulat seperti bumi. 

✐ Sekelian manusia hidup melalui benih anak Adam yg disebut “Ajbuz Zanbi” yang berada di hujung tulang belakang mereka. Hiduplah manusia umpama anak pokok yang kembang membesar dari biji benih. 

✐ Semua manusia dan jin dibangkitkan dalam keadaan telanjang dan hina. Mereka tidak rasa malu kerana pada ketika itu hati mereka sangat takut dan bimbang tentang nasib & masa depan yang akan mereka hadapi kelak. 

✐ Lalu datanglah api yang berterbangan dengan bunyi seperti guruh yang menghalau manusia, jin dan binatang ke tempat perhimpunan besar. Bergeraklah mereka menggunakan tunggangan (bagi yang banyak amal), berjalan kaki (bagi yang kurang amalan) dan berjalan dengan muka (bagi yang banyak dosa). Ketika itu, ibu akan lupakan anak, suami akan lupakan isteri, setiap manusia sibuk memikirkan nasib mereka. 

✐ Setelah semua makhluk dikumpulkan, matahari dan bulan dihapuskan cahayanya, lalu mereka tinggal dalam kegelapan tanpa cahaya. Berlakulah huru-hara yang amat dahsyat. 

✐ Tiba-tiba langit yang tebal pecah dengan bunyi yang dahsyat, lalu turunlah malaikat sambil bertasbih kepada Allah SWT. Seluruh makhluk terkejut melihat saiz malaikat yang besar dan suaranya yang menakutkan. 

✐ Kemudian matahari muncul semula dengan kepanasan yang berganda. Hingga dirasakan seakan-akan matahari berada sejengkal dari atas kepala mereka. Ulama berkata jika matahari naik di bumi seperti keadaannya naik dihari Kiamat nescaya seluruh bumi terbakar, bukit-bukau hancur dan sungai menjadi kering. Lalu mereka rasai kepanasan dan bermandikan peluh sehingga peluh mereka menjadi lautan. Timbul atau tenggelam mereka bergantung pada amalan masing-masing. Keadaan mereka berlanjutan sehingga 1000 tahun. 

✐ Terdapat satu telaga kepunyaan Nabi Muhammad SAW bernama Al-Kausar yang mengandungi air yang hanya dapat diminum oleh orang mukmin sahaja. Orang bukan mukmin akan dihalau oleh malaikat yang menjaganya. Jika diminum airnya tidak akan haus selama-lamanya. Kolam ini berbentuk segi empat tepat sebesar satu bulan perjalanan. Bau air kolam ini lebih harum dari kasturi, warnanya lebih putih dari susu dan rasanya lebih sejuk dari embun. Ia mempunyai saluran yang mengalir dari syurga. 

✐ Semua makhluk berada bawah cahaya matahari yang terik kecuali 7 golongan yang mendapat teduhan dari Arasy. Mereka ialah: 
ⅰ- Pemimpin yang adil.
ⅱ- Orang muda yang taat kepada perintah Allah.
ⅲ- Lelaki yang terikat hatinya dengan masjid.
ⅳ- Dua orang yang bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.
ⅴ- Lelaki yang diajak oleh wanita berzina, tetapi dia menolak dengan berkata “Aku takut pada Allah”.
ⅵ- Lelaki yg bersedekah dengan bersembunyi (tidak diketahui orang ramai).
ⅶ- Lelaki yang suka bersendirian mengingati Allah lalu mengalir air matanya kerana takutkan Allah. 

✐ Oleh kerana tersangat lama menunggu di padang mahsyar, semua manusia tidak tahu berbuat apa melainkan mereka yang beriman, kemudian mereka terdengar suara “pergilah berjumpa dengan para Nabi”. Maka mereka pun pergi mencari para Nabi. Pertama sekali kumpulan manusia ini berjumpa dengan Nabi Adam tetapi usaha mereka gagal kerana Nabi Adam a.s menyatakan beliau juga ada melakukan kesalahan dengan Allah SWT. Maka kumpulan besar itu kemudiannya berjumpa Nabi Nuh a.s., Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s. (semuanya memberikan sebab seperti Nabi Adam a.s.) dan akhirnya mereka berjumpa Rasullullah SAW. Jarak masa antara satu nabi dengan yang lain adalah 1000 tahun perjalanan. 

✐ Lalu berdoalah baginda Nabi Muhammad SAW ke hadrat Allah SWT. Lalu diperkenankan doa baginda.

✐ Selepas itu, terdengar bunyi pukulan gendang yang kuat hingga menakutkan hati semua makhluk kerana mereka sangka azab akan turun. Lalu terbelah langit, turunlah arasy Tuhan yang dipikul oleh 8 malaikat yang sangat besar (besarnya sejarak perjalanan 20 ribu tahun) sambil bertasbih dengan suara yang amat kuat sehingga ‘Arasy itu tiba dibumi. 

✐ ‘Arasy ialah jisim nurani yang amat besar berbentuk kubah (bumbung bulat) yang mempunyai 4 batang tiang yang sentiasa dipikul oleh 4 malaikat yang besar dan gagah. Dalam bahasa mudah ia seumpama istana yang mempunyai seribu bilik yang menempatkan jutaan malaikat di dalamnya. Ia dilingkungi embun yang menghijab cahayanya yang sangat kuat. 

✐ Kursi iaitu jisim nurani yang terletak di hadapan Arasy yang dipikul oleh 4 malaikat yang sangat besar. Saiz kursi lebih kecil dari ‘Arasy umpama cincin ditengah padang . Dalam bahasa mudah ia umpama singgahsana yang terletak dihadapan istana. 

✐ Seluruh makhluk pun menundukkan kepala kerana takut. Lalu dimulakan timbangan amal. Ketika itu berterbanganlah kitab amalan masing-masing turun dari bawah Arasy menuju ke leher pemiliknya tanpa silap dan tergantunglah ia sehingga mereka dipanggil untuk dihisab. Kitab amalan ini telah ditulis oleh malaikat Hafazhah / Raqib & ‘Atid / Kiraman Katibin. 

✐ Manusia beratur dalam saf mengikut Nabi dan pemimpin masing- masing. Orang kafir & munafik beratur bersama pemimpin mereka yang zalim. Setiap pengikut ada tanda mereka tersendiri untuk dibezakan.  

✐ Umat yang pertama kali dihisab adalah umat Nabi Muhammad SAW, dan amalan yang pertama kali dihisab adalah solat. Sedangkan hukum yang pertama kali diputuskan adalah perkara pertumpahan darah. 

✐ Apabila tiba giliran seseorang hendak dihisab amalannya, malaikat akan mencabut kitab mereka lalu diserahkan, lalu pemiliknya mengambil dengan tangan kanan bagi orang mukmin dan dengan tangan kiri jika orang bukan mukmin. 

✐ Semua makhluk akan dihisab amalan mereka menggunakan satu Neraca Timbangan. Saiznya amat besar, mempunyai satu tiang yang mempunyai lidah dan 2 daun. Daun yang bercahaya untuk menimbang pahala dan yang gelap untuk menimbang dosa. 

✐ Acara ini disaksikan oleh Nabi Muhammad SAW dan para imam 4 mazhab untuk menyaksikan pengikut masing-masing dihisab. 

✐ Perkara pertama yang diminta ialah Islam. Jika dia bukan Islam, maka seluruh amalan baiknya tidak ditimbang bahkan amalan buruk tetap akan ditimbang. 

✐ Ketika dihisab, mulut manusia akan dipateri, tangan akan berkata- kata, kaki akan menjadi saksi. Tiada dolak-dalih dan hujah tipuan. Semua akan di adili oleh Allah Ta’ala dengan Maha Bijaksana. 

✐ Setelah amalan ditimbang, mahkamah Mahsyar dibuka kepada orang ramai untuk menuntut hak masing-masing dari makhluk yang sedang dibicara sehinggalah seluruh makhluk berpuas hati dan dibenarkannya menyeberangi titian sirat. 

✐ Syafaat Nabi Muhammad SAW di akhirat : 
ⅰ- Meringankan penderitaan makhluk di Padang Mahsyar dengan mempercepatkan hisab. 
ⅱ- Memasukkan manusia ke dalam syurga tanpa hisab. 
ⅲ- Mengeluarkan manusia yang mempunyai iman sebesar zarah dari neraka. 
(Semua syafaat ini tertakluk kepada keizinan Allah SWT.) 

✐ Para nabi dan rasul serta golongan khawas juga diberikan izin oleh Tuhan untuk memberi syafaat kepada para pengikut mereka. Mereka ini berjumlah 70 000. Setiap seorang dari mereka akan mensyafaatkan 70 000 orang yang lain. 

✐ Setelah berjaya dihisab, manusia akan mula berjalan menuju syurga melintasi jambatan sirat. Siratul Mustaqim ialah jambatan (titian) yang terbentang dibawahnya neraka. Lebar jambatan ini adalah seperti sehelai rambut yang dibelah tujuh dan ia lebih tajam dari mata pedang. Bagi orang mukmin ia akan dilebarkan dan dimudahkan menyeberanginya. 

✐ Fudhail bin Iyadh berkata perjalanan di Sirat memakan masa 15000 tahun. 5000 tahun menaik, 5000 tahun mendatar dan 5000 tahun menurun. Ada makhluk yang melintasinya seperti kilat, seperti angin, menunggang binatang korban dan berjalan kaki. Ada yang tidak dapat melepasinya disebabkan api neraka sentiasa menarik kaki mereka, lalu mereka jatuh ke dalamnya. 

✐ Para malaikat berdiri di kanan dan kiri sirat mengawasi setiap makhluk yang lalu. Setiap 1000 orang yang meniti sirat, hanya seorang sahaja yang Berjaya melepasinya. 999 orang akan terjatuh ke dalam neraka. 
Rujukan:

Sunday 10 August 2014

Bila Dan Benarkah Dinosaur Wujud Sebelum Nabi Adam Diturunkan Ke Bumi ?


Kita diajar Dinosaur adalah binatang zaman prasejarah. Tetapi, sejauh manakah kebenarannya dari sudut Islam dan Sains? Adakah ianya benar-benar wujud dan hidup sezaman dengan Nabi Adam A.S. atau sebelumnya? Sebelum tu, boleh lihat dulu entri lepas yang menarik iaitu Siapakah Penghuni Bumi Sebelum Manusia. Altikel ini adalah sambungannya. Nak tahu lebih lanjut, tanpa membuang masa, jom teruskan membaca.

Adakah Dinosaur Wujud?

Kalau benar dinosaur wujud, kenapa fosilnya hanya dijumpai di sesetengah tempat? contohnya, negara-negara eropah? kenapa fosil-fosil itu sahaja yang bertahan? kenapa yang lain semua dah jadi petroleum? Banyak kemuyskilan mengenai kewujudan dinosaur. Haiwan prasejarah mungkin wujud, namun dinosaur belum tentu.

Semasa beberapa orang sahabat ke Petrosains, penjelasan mengapa ada dinasour yang menjadi petroleum atau bahan mentah kepada kita sekarang ialah kerana dinasour itu mendiami kawasan-kawasan tanah rendah. Apabila tanah rendah itu mula ditenggelami air, bangkai/tulang dinasour ini telah menjadi mendap. Tekanan yang disebabkan oleh paras air yang tinggi menyebabkan tulang/fosil dinasour ini menjadi petroleum.

Secara umumnya, ramai orang mengetahui tentang dinosaur pengikut fakta-fakta yang dijelaskan oleh sains dan bukti-bukti fosil yang telah dijumpai. Tetapi adakah terdapat cerita tentang dinosaur ini di dalam Al-Quran ataupun kitab-kitab suci yang lain? Dari penjelasan dalam islam, tidak banyak yang kita ketahui tentang dinosaur ini. Adakah ia hidup sebelum zaman Nabi Adam a.s. atau ia hidup semasa zaman nabi tersebut? Inilah kemusykilan yang kerap kali bermain dikalangan ahli sains moden.  



Dinosaur Hidup Sebelum Zaman Nabi Adam?

“Dan tiadalah binatang-binatang yang ada di bumi dan burung-burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan umat (juga) seperti kamu. Tiadalah Kami alpakan sesuatupun dalam Al-Kitab, kemudian kepada Tuhanlah mereka dihimpunkan.”
(Al An'aam : 32)

Haiwan prasejarah diyakini wujud seperti persoalan bagaimana malaikat tahu bahawa hamba Allah yang bakal dicipta nanti (Adam dan keturunannya) akan membuat ‘kerosakan’ dan ‘menumpah darah’ (berperang). Ini membuktikan sudah ada kehidupan makhluk lain sebelum manusia yang telah diturunkan syariat Islam. Cuma bezanya makhluk sebelum Adam berbeza dari segi jasad dan kemampuan intelektual.

Jika difikirkan secara logik akal, adalah mustahil untuk manusia hidup bersama-sama dinosaur yang telah menghuni di muka bumi ini selama berjuta-juta tahun. Kalau dikaitkan dengan sejarah manusia yang telah tercatat di dalam Al-Quran dan juga melalui kajian saintifik manusia, manusia tidak mungkin dapat hidup pada zaman dinosaur. Mana mungkin manusia dapat bercucuk tanam seperti yang dilakukan oleh Anak Nabi Adam, Qabil dan mengembala binatang ternak oleh Habil.

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”.
(Al-Baqarah : 30)

Seperti yang tertulis di dalam al-Quran, Allah telah menciptakan bumi dengan kefungsian yang lengkap termasuklah berbagai jenis binatang dan Nabi Adam diciptakan selepas penciptaan bumi.

“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi; dan (pada) pertukaran malam dan siang; dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Ia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah kekuasaanNya, kebijaksanaanNya, dan keluasan rahmatNya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran.”
(Al-Baqarah : 164)

“Dia menciptakan langit tanpa tiang yang kamu melihatnya dan Dia meletakkan gunung-gunung di bumi (permukaan) supaya bumi itu tidak menggoyangkan kamu; dan memperkembang-biakkan padanya segala macam jenis binatang. Dan Kami turunkan air hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan padanya segala macam tumbuh-tumbuhan yang baik.”
(Luqman : 10).

Ayat-ayat tersebut menunjukkan bahawa setelah penciptaan bumi, juga dikembangbiakkan binatang-binatang. dan ini seharusnya adalah binatang-binatang prasejarah dan juga binatang- binatang yang kita lihat saat ini. 



Dinosaur Hidup Semasa Zaman Nabi Adam?

Ada sesetengah pendapat mengatakan dinosaur itu ibarat ayam, itik dan haiwan biasa bagi Nabi Adam sebab Nabi Adam diriwayatkan sebagai bertubuh sangat besar dan tinggi.

“Dialah yang menciptakan langit dan bumi; Ia menjadikan bagi kamu pasangan-pasangan dari jenis kamu sendiri, dan menjadikan dari jenis binatang-binatang ternak pasangan-pasangan (bagi binatang-binatang itu); dengan jalan yang demikian dikembangkan-Nya (zuriat keturunan) kamu semua. Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (Zat-Nya, sifat-sifat-Nya dan pentadbiran)-Nya, dan Dia Maha Mendengar, Maha Melihat.”
(Asy-Syura : 11)

Menurut hadits Muhammad yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Adam memiliki postur badan dengan ketinggian 60 hasta (kurang lebih 27,432 meter). Hadits mengenai ini pula ditemukan dalam riwayat Imam Muslim dan Imam Ahmad, namun dalam sanad yang berbeza.”

“Hadis Abu Hurairah r.a katanya: “Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Allah telah menjadikan Nabi Adam setinggi enam puluh hasta. Setelah menciptakannya Allah berfirman: Pergi dan berikan salam kepada kumpulan itu. Mereka adalah sekumpulan Malaikat yang sedang duduk, maka dengarlah jawapan mereka kepadamu kerana salam itu adalah salam penghormatan untukmu dan keturunanmu. Maka Nabi Adam pergi dan mengucapkan: السَّلَامُ عَلَيْكُمْ Mereka menjawab: السَّلَامُ عَلَيْكَ وَرَحْمَةُ اللَّهِ Mereka menambahkan وَرَحْمَةُ اللَّهِ Maka rupa bentuk setiap manusia yang akan memasuki Syurga adalah seperti Nabi Adam. Ketinggiannya enam puluh hasta. Setelah Nabi Adam, rupa bentuk (ketinggian) manusia terus berkurang hingga sekarang.”

Sedangkan mengikut kajian saintifik yang telah di lakukan, mamalia seperti binatang ternak yang diternak oleh Habil seperti kambing tidak wujud lagi dan pokok-pokok yang hidup di zaman dinosaur tidak mungkin digunakan sebagai bercucuk tanam. Juga cerita tentang Qabil yang membunuh Habil, dan pada masa itu Qabil telah di tunjukkan oleh Allah SWT bagaimana burung gagak menanam burung gagak yang lain.

Jadi persoalannya di sini, wujudkah burung gagak di zaman dinosaur? Burung gagak sepatutnya hanya wujud semasa wujudnya mamalia-mamalia yang lain. Adakah yang dimaksudkan dengan burung gagak itu adalah sebetul-betulnya gagak kini? Atau adakah ia burung dari jenis zaman dinosaur juga yang menyerupai seekor gagak? Sedikit sebanyak memang dinosaur itu wujud kerana kita sudah melihat bukti fosil dan kajian saintifik dari segi sains. Tetapi kemusykilan tentang dinosaur dalam Islam masih banyak yang belum kita ketahui terutamanya dari segi kehidupan manusia pertama iaitu sejak zaman Nabi Adam a.s.

Kesimpulan

Dinosaur tidak disebut di dalam al-Quran secara tepat bukan bererti tidak penting tetapi itu adalah anugerah Allah untuk manusia supaya manusia mencari dan mengkaji masa lalu dan apa hubungannya degan kehidupan sekarang dan juga untuk masa depan . Bukankah itu salah satu tujuan Allah menciptakan manusia sebagai khalifah di muka bumi.

Wallahu`alam..

Thursday 13 March 2014

Nabi Idris

Allah s.w.t berfirman:

"Dan ceritakanlah (Hai Muhammad kepada mereka kisah) Idris (yang tersebut)di dalam Al-Qur'an. Sesungguhnya ia adalah seorang yang sangat membenarkan dan seorang rasul. Dan Kami telah mengangkatnya ke martabat yang tinggi." (QS. Maryam: 56-57)

Kita tidak mengetahui bila Nabi Idris hidup dan kepada kaum siapa dia diutus dan bagaimana Allah s.w.t mengangkat darjatnya pada kedudukan yang tinggi.

Menurut dongeng kuno disebutkan bahawa Nabi Idris adalah Uzairis, salah seorang pahlawan Mesir kuno. Beliau dianggap sebagai Tuhan berhala. Izis, isterinya memainkan peranan penting dalam mengembalikannya pada kehidupan. Kami tidak memiliki suatu sumber yang otentik yang dapat kami percaya untuk meneguhkan pendapat seputar Nabi Idris.

Barangkali Idris adalah seorang Nabi yang dermawan dan mulia dan diutus di Mesir, lalu Allah s.w.t mengangkatnya di sisi-Nya seperti Nabi Isa Ibnu Maryam. Ketika beliau diangkat, terjadilah berbagai macam isu dan fitnah seputar beliau dan kemudian beliau dijadikan sebagai Tuhan. Dan barangkali ada versi lain seputar kisah itu.

Yang jelas Al-Qur'an al-Karim tidak menyingkap kesamaran yang berhubungan dengan Nabi Idris. Yang kami ketahui hanya bahawa beliau adalah seorang yang jujur, yang terpercaya, dan seorang Nabi. Allah s.w.t mengangkatnya ke darjat yang tinggi di sisi-Nya. ?

Nabi Idris a.s Bersama Malaikat Izrail

Suatu ketika Nabi Idris a.s telah dikunjungi oleh Malaikat Izrail dan bertanya Nabi Idris a.s katanya: "Hai malaikat Izrail, engkau datang ini untuk mencabut nyawa atau untuk menziarah?." Kata Malaikat Izrail aku datang untuk menziarah dengan izin Allah. Kata Nabi Idris kepada Malaikat Izrail: "Hai Malaikat Izrail, saya ada keperluan dan kepentingan kepadamu" Kata Malaikat Izrail "Kepentingan apa itu?" Jawab Nabi Idris "Kepentingan denganmu iaitu supaya engkau mencabut nyawaku dan kemudian Allah menghidupkan kembali sehingga aku dapat beribadah kepada Allah setelah aku merasakan sakaratulmaut". Kata Malaikat Izrail sesungguhnya aku tidak akan mencabut nyawa seseorang melainkan mendapat izin Allah. Maka Allah memberi wahyu kepada kepada Malaikat Izrail agar dia mencabut nyawa Nabi Idris, maka seketika itu Malaikat Izrail mencabut nyawa Nabi Idris a.s. Maka Malaikat Izrail menangis atas kematian Nabi Idris sambil memohon kepada Allah agar Allah menghidupkan kembali Nabi Idris a.s.

Kemudian Allah mengabulkan permohonan Malaikat Izrail, maka Nabi Idris hidup kembali. Malaikat Izrail bertanya kepada Nabi Idris as. "Hai saudaraku, bagaimana rasanya sakaratulmaut itu?. Kata Nabi Idris a.s "Sesungguhnya rasa sakaratulmaut itu saya umpamakan binatang yang hidup itu dilapah kulitnya (dibuang kulitnya semasa hidup-hidup) dan begitulah rasanya sakaratulmaut bahkan lebih seribu kali sakit."

Kata Malaikat Maut: "Secara halus dan berhati-hati aku mencabut nyawa yang seperti itu selama-lamanya." Kemudian Nabi Idris a.s berkata lagi pada Malaikat Maut: "Hai Malaikat Maut, saya ada keinginan lagi dengan engkau iaitu saya ingin melihat Neraka Jahanam sehingga saya boleh beribadah kepada Allah dengan bersungguh-sungguh setelah melihat belenggu, rantai-rantai dan kala jengking yang menyengat orang-orang yang ada di Neraka Jahanam." Kata Malaikat Maut "Bagaimana saya boleh pergi ke Neraka Jahanam tanpa izin Allah".

Mala Allah memberi wahyu kepada Malaikat Maut dengan firman: "Pergilah engkau ke Neraka Jahanam bersama-sama Nabi Idris a.s". Malaikat Maut pun pergi ke Neraka Jahanam bersama-sama Nabi Idris kemudian Idris melihat segala macam seksaan yang diciptakan Allah untuk musuh-musuhNya yang berupa belenggu, rantai-rantai daripada neraka dan kala jengking serta ular dengan api-api yang menyala dan kayu zakum dan air yang sangat panas untuk diminum oleh ahli neraka tersebut. Setelah kembali Nabi Idris berkata lagi kepada Malaikat Maut. "Hai Malaikat Maut, saya ada keinginan lagi dengamu iaitu saya ingin melihat syurga sehingga saya boleh tambah meningkatkan amal ibadah," maka Malaikat Maut berkata "Bagaimana boleh saya bersamamu ke dalam syurga tanpa izin Allah." Maka Allah memberi izin pada Malaikat Maut untuk pergi berdua dan berhenti dekat pintu syurga.

Maka Nabi Idris melihat di dalamnya nampak bermacam-macam nikmat dan istana besar lagi indah dan beberapa anugerah yang berharga, juga tumbuh-tumbuhan serta buah-buahan yang beraneka warna dan rasanya berbeza-beza. Nabi Idris berkata "Hai saudaraku, saya telah merasakan sakitnya sakaratulmaut, saya telah melihat Neraka Jahanam yang didalamnya bermacam-macam rupa seksaan dan azab neraka maka mohonlah engkau kepada Allah agar Allah mengizinkan saya untuk masuk syurga dan minum airnya agar hilang rasa sakitnya sakaratulmaut di tenggkorakku ini dan juga terhindar daripada seksaan Neraka Jahanam.

Maka Malaikat Izrail minta izin kepada Allah lalu mengizinkannya, kemudian masuklah meraka berdua ke alam syurga lalu keluar. Kemudian Nabi Idris masuk lagi ke dalam syurga dan meletakkan seliparnya di bawah pokok kayu di dalam syurga. Maka Nabi Idris berkata kepada Malaikat Izrail "Hai Malaikat Maut, selipar saya tertinggal didalam syurga di bawah pokok kayu, maka kembalikanlah saya ke dalam syurga," maka Nabi Idris masuk ke syurga dan tidak mahu keluar lagi dari syurga. Maka berteriaklah Malaikat Izrail memanggil Nabi Idris agar keluar dari syurga. "Hai Idris, keluarlah engkau dari syurga." Maka Nabi Idris pun tidak mahu keluar Allah s.w.t telah berfirman "Tiap-tiap orang mesti merasakan sakaratul maut, sedang saya sudah merasakan sakaratulmaut. Dan Allah s.w.t berfirman lagi maksudnya: "Tidak ada diantara kamu sekelian kecuali mereka itu memasuki (neraka/syurga) sedang aku pernah memasuki neraka dan Allah pun juga berfirman lagi maksudnya: "Dan tidaklah mereka itu dikeluarkannya". (keluar daripada syurga).

"Siapakah yang mengeluarkan saya dari syurga" sedangkan Allah telah memberi wahyu kepada malaikat Maut. "Tinggalkanlah dia (Nabi Idris) sesungguhnya Aku telah memutuskan dia di zaman azali dahulu bahawa sesungguhnya dia (Nabi Idris) tergolong ahli dan penghuni syurga."

Dan Allah telah berfirman kepada rasul-rasulNya tentang kisah Nabi Idris dalam firmanNya yang bermaksud. "Dan ingatlah olehmu cerita-cerita dalam kitab Nabi Idris a.s dan seterusnya."