Saturday 28 May 2011

Allah Jalla Jalaluh ..


Allah adalah nama yang paling mulia yang telah ditetapkan untuk zat yang tertentu sahaja. Suatu zat yang murni semurni-murninya. Kemurnian yang tidak boleh dilembagakan dengan sesuatu apapun. Dengan-Nya sahajalah manusia beriman. Dengan-Nyalah sahaja manusia berubudiyah. Daripada-Nya manusia mengenali kehidupan dan kepada-Nyalah mereka kembali. Sama ada mereka bersedia atau tidak, sama ada mereka bersetuju atau sebaliknya.


Dari Mana? Kenapa? Dan Ke Mana?


Dalam menghayati kalimah murni ini manusia memerlukan kepada suatu jawapan penyelesaian. Jawapan kepada persoalan-persoalan yang tidak pernah renggang atau jauh daripada minda dan perasaan. Persoalan yang telah timbul sejak dahulu hingga kini, terutama pada saat-saat kesunyian, kekosongan atau ketika lintasan awal mengusik perasaan dalaman mengenai kematian.


Manusia Pilihan


Tidak ada manusia yang paling bertuah dan terpilih, kecuali jawapan yang tepat yang dapat memberikan kepada persoalan-persoalan ini. Siapa manusia sebenar? Kenapakah manusia diberi peluang hidup di dunia? Dan ke manakah pula manusia akhirnya?


Manusia akan memperolehi jawapannya yang tepat andainya ia mengambil jawapan yang telah disediakan melalui petunjuk Allah SWT dan Rasul-Nya (al-Quranul al-Karim dan as-Sunnah Nabawiyyah). Manusia perlu mengambil asas-asas aqidah yang benar serta syariatnya yang terbina daripada asas-asas tersebut. Manusia perlu mengambil Islam dan daulahnya yang pernah dipersaksikan begitu lama dalam realiti hidup generasi awal pimpinan Rasulullah SAW. Manusia perlu mengambil seluruh rantaian sirah kehidupan pewaris-pewarisnya dan mujahid-mujahid Islam yang sangat jelas kefahaman dan penghayatan serta iltizam dan intizam mereka sepenuhnya dengan din Allah SWT dalam apa jua keadaan dan suasana.


Kalimatullah Tidak Akan Terguris


Dalam konteks mendapatkan hakikat kefahaman kalimah mulia Allah, manusia wajar merenung sejenak dengan rasa hati yang lembut dan murni. Manusia seharusnya memikir jauh buat seketika dengan mindanya yang terarah terhadap kalimah agung �Allahur Rahman AllahurRahim� yang disaluti anekarupa kerahmanan, kalimah yang hanya layak menerima segala pujian dan kemuliaan.

Kerahmatan-Nya yang terang nyata pulangannya untuk makhluk ciptaan-Nya semata-mata.

Biar seluruh manusia sejak daripada Adam AS, dan makhluk lain diberi ruang untuk hidup kemudian semua mereka melupakan Allah SWT, atau mengkufur-kan-Nya terus menerus, nescaya tidak akan terguris sedikit pun hakikat kemurnian Kalimatullah. Tidak akan berkurangan kesultanan dan ketuanan-Nya, walau sebesar zarah atau lebih halus daripada itu. Tidak ada sebarang kepantasan pintasan cahaya yang dapat menjerebui ketajaman sinaran kebesaran Nur Allah.


Daya Menjinak Hati Dan Fitrah Salimah


Jika manusia berbuat demikian, kerugian dan kebinasaanlah yang menimpa manusia. Keadaan ini berpunca daripada kejahilan serta sifat keangkuhan manusia untuk mengenal penciptanya

atau kesesatan dan buta hati manusia untuk memperhambakan dirinya kepada Rabbul Alamin, atau nafsu ammarah bimbingan syaitan telah menjadi ilahnya. Pada ketika tertentu manusia meyakini Allah SWT, sedang pada masa yang lain pula ia menjuarai jahiliyyah. Itulah kehancuran dan kebinasaan yang tidak berhujung dan bertebus walau sebesar bumi dan segala isinya atau setinggi langit dan segala kandungannya sebagai gantian melainkan hanya dengan maghfirah Allah SWT dan rahmat-Nya sahaja.

Manusia memang mempunyai daya untuk menjinakkan hati dengan sifat maghfirah Allah SWT dan sifat rahmah-Nya. Manusia memang ada fitrah salimahnya yang tidak berasa asing dengan Al Haq.


Nas-Nas Al Quran


Ada banyak ayat-ayat Allah SWT yang menjelaskan manusia suka mengingkari sifat-sifat dan kekuasaan-Nya serta akibatnya. Firman-Nya yang bermaksud :


Antara manusia ada orang yang membantah tentang Allah tanpa ilmu pengetahuan dan mengikuti setiap syaitan yang sangat jahat, yang telah ditetapkan terhadap syaitan itu, bahawa barangsiapa yang berkawan dengan dia, tentu dia akan menyesatkan, dan membawanya ke azab neraka.(Al-Haj : 3-4)


Nas al-Quran ini jelas menunjukkan kefahaman yang perlu diambil sebagai panduan untuk mendapatkan kesedaran keimanan. Ia dapat dirumuskan dengan ringkas iaitu betapa hebatnya ilmu manusia yang menjurus ke arah pengenalan Allah SWT sebagai Rab lalu membolehkannya terus berubudiyah.Sekaligus ia juga menghapuskan kejahilan yang menjadi teman setia hawa nafsu dan syaitan yang menyesatkan dengan kepekatan keangkuhan.


Perkara paling malang sekali untuk mereka ialah Allah menyediakan hukuman seksaan api neraka yang tidak seorang pun dapat melepaskan diri daripadanya. Mohon dilindungi Allah SWT ke atas

semua mukminin mukminat dan muslimin muslimat daripada bencana kemurkaan Allah Jalla Jalaluh.

Begitu juga sebaliknya terdapat sebahagian manusia yang dirahmati Allah SWT dengan penganugerahan kemenangan ke atas mereka. Firman-Nya yang bermaksud :


Sesungguhnya jawapan orang-orang mukmin, apabila mereka dipanggil kepada Allah dan Rasul-Nya agar rasul menghukum (mengadili) di antara mereka ialah ucapan: Kami mendengar, dan kami patuh. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung. Dan barangsiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya dan takut kepada Allah dan bertaqwa kepada-Nya, maka mereka adalah orang-orang yang mendapat kemenangan.


Berdasarkan nas ini jelas betapa besar erti dan peranan iman yang membuahkan ubudiyah, kepatuhan dan ketaatan, ketakutan dan ketaqwaan kepada Allah SWT. Iman sebegini akan dianugerahkan kemenangan oleh Allah SWT

Sunday 22 May 2011

Nur Allah ( S W T) ..

Bismillahirohmanirahim,

Pengenalan Nur ( cahaya )

Nur atau cahaya itu ialah sesuatu yang menyebabkan kita nampak dengan jelas akan sesuatu. Baik dengan mata kepala kita atau mata hati. Ia adalah perlu untuk kehidupan manusia terutama dalam kehidupan yang berhubung dengan agama dan penerimaan petunjuk atau hidayah daripada Allah s.w.t.

Firman Allah :

" Allah ( pemberi ) cahaya ( kepada ) langit dan bumi. Perumpamaan cahayaNya adalah seperti sebuah lubang besar yang tidak tembus, yang di dalamnya ada pelita. Pelita itu di dalam kaca dan kaca itu seakan-akan bintang ( yang bercahaya ) seperti mutiara yang dinyalakan dari pohon yang banyak berkahnya, ( iaitu ) pohon zaitun yang tidak tumbuh di sebelah Timur ( sesuatu ) dan tidak ( pula ) tumbuh di sebelah Barat. Yang minyaknya ( sahaja ) hampir-hampir menerangi, walaupun tidak di sentuh api. Cahaya di atas cahaya ( berlapis-lapis ), Allah membimbing kepada cahayaNya siapa yang dikehendaki dan Allah membuat perumpamaan bagi manusia, dan Allah Maha mengetahui segala sesuatu."
( Surah An Nur Ayat 35 )

Menurut pembahagian,nur itu terbagi kepada dua,iaitu:

Nur Lahir (Hissi) iaitu cahaya menolong kita melihat sesuatu dengan mata kepala kita seperti cahaya sinaran matahari yang memberi kita cahaya terang dikala siang.
Nur Batin (Ma’nawi) iaitu cahaya monologi kita melihat dengan mata hati terhadap sesuatu yang ghaib atau memahami sesuatu hakikat atau pengertian.
Nur Batin ini terbagi pula kepada 8 jenis,iaitu:

  1. Nur Al-Iman : Cahaya keimanan iaitu cahaya sejati yang dapat menembusi segala kegelapan dimana akan ternyata keagungan dan keesaan Allah s.w.t menyinari hati insan.
  2. Nur Al-Qalb : Cahaya hati iaitu cahaya yang wujud dengan sempurna dengan memperoleh sinaran cahaya daripada nur Al-Iman.
  3. Nur Ar-Ruh : Cahaya Ruh (jiwa) iaitu cahaya yang diperoleh dengan sebab kepatuhan yang sungguh-sungguh kepada Allah dan menyucikan peribadi dari perlakuan liar dan adat resam yang merugikan sehingga ruhnya dapat berhubung dengan alam malaikat.
  4. Nur An-Nafs : Cahaya pribadi yang wujud dengan sempurna berikutan dengan memperoleh sinaran dari pada Nur Ar-Ruh.
  5. Nur As-Sirr : Cahaya rahsia yang diperoleh dengan mengenal Allah dengan sebenar-benar pengenalan yang diikuti dengan hubungan kepada Maha Pencipta tanpa selainNya sehingga dapat menyaksikan keajaiban kebesaran Ilahi di Alam Malakut dan Alam Mulk dan Syahada.
  6. Nur Al-Aql : Cahaya akal yang wujud dengan sempurna dengan memperoleh sinaran cahaya daripada Nur As-Sirr.
  7. Nur Al-Qur’an : Cahaya Qur’an yang merupakan Nur Allah s.w.t. yang berhubung rapat dengan DzatNya Yang Maha Tinggi. Hakikat Nur ini adalah diserahkan kepada Allah.Cuma diketahui bahwa nur inilah yang menimbulkan Nur As-Sirr dan nur yang lain.
  8. Nur Al-kasyaf; Cahaya singkapan iaitu Nur Al-Qur’an yang merupakan nur yang paling tinggi dan mamberi kesan yang istimewa. Nur ini dapat menggilapkan cermin hati para insan dengan membaca ayat-ayat suci,dzikrullah (takbir,tahmid,tasbih,taqdis dan lain-lain); juga dengan memakan makanan yang halal, berlaku ikhlas, berpuasa meninggalkan sesuatu yang memesongkan, sentiasa membersihkan diri dan peribadi dengan mengekalkan wudhu’ dan menjaga segala waktu untuk ketaatan dan berbakti kepada Allah s.w.t.
Allah berfirman:

"Wahai manusia,sungguhnya telah datang kepadamu bukti kebenaran dari tuhanmu (nabi Muhammad dan mujizatnya); dan kami telah menurunkan kepadamu satu cahaya (Al-Qur’an) yang terang benderang."
( Surah An-Nisaa’ Ayat 174 )

Menurut golongan Sufi bahwa nur ini memungkinkan mengangkat pandangan kepada ‘Arasy dan Kursi dan menyaksikan segala nur-nur yang indah hingga terbuka segala rahsia-rahsia alam dan bermacam-macam rupa alam ghaib

Nur inilah yang menyelubungi peribadi Nabi Muhammad s.a.w sehingga beliau dapat memandang atau mengetahui sesuatu dengan izin Allah. Dikala beliau pulang dari pengembaraan Isra’ dan mi’raj, orang-orang kafir mengerumuni beliau bagi menguji kebenaran pelajarannya. Mereka menanyakan sifat-sifat masjid Al-Aqsa dengan detail;tetapi pertanyaan itu dapat dijawab oleh nabi dengan tepat sehingga segolongan manusia merasa hairan dan kagum lalu mempercayai kebenaran nabi s.a.w.

Nur inilah yang membukakan pandangan kepada Khalifah Umar b.Al-Khattaab yang berada di kota Madinah dapat melihat daerah Nahawand dan melihat panglima dan tentara-tentara Islam yang sedang berjuang menyerang tentara-tentara Persi dibawah raja Yazdajird III dimana beliau mengeluarkan perintah menggempur musuh dengan hebat. Suara umar didengar pula oleh panglima Hudzaifah Al-Yaman sehingga beliau berjaya menumpaskan mereka.

Pada suatu masa ditanyakan Rasulullah s.a.w. dengan pertanyaan: "Apakah Nur itu?"

Beliau menjawab: "Apabila nur itu memasuki hati maka lega dan lapanglah hati itu." Kemudian ditanyakan lagi: "Bagaimanakah tandanya?" Sabdanya: "Hati itu tidak lupakan perkembaliannya ke Darul Khuld (negeri Akhirat) Dia tidaklah bermasyghul (berleka-leka) dengan keduniaan kerana dunia ini adalah tempat perayaan (dan Percubaan).Hati itu selalu mengingati kematian sebelum tibanya kematian itu."

Abdullah b. Mas’ud pernah berkata:

"Ilmu itu diperoleh bukanlah kerana semata-mata banyak riwayat (sumber biasa), tetapi dia hanya diperoleh dengan nur yang dicampakkan Allah ke dalam hati seseorang.

Firman Allah :

"Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya, dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk."
( Surah al-Qashash Ayat 56 )

MADAH.
Tuntutlah Ilmu, Beramallah daripada Ilmu yang berguna
Allah tidak memandang rupamu, hartamu,
Allah memandang Taqwamu.Ingatlah Iman itu tidak akan datang melayang bertahta di Hati!

FakirilAllah.

Tuesday 17 May 2011

Nama Syaitan di dalam Surah Al-fatihah

Al-Fatihah adalah satu rukun dalam solat, apabila cacat bacaannya maka rosaklah solat. Oleh itu perbaikilah bacaannya dengan ilmu tajwid. Bukan setakat bacaannya saja rosak malah kita menyebut nama syaitan di dalam solat kita. Berikut diperturunkan nama syaitan laknat yang wujud di dalam Al-Fatihah, sekiranya kita tidak berhati-hati.
Nama syaitan;

1. DU LI LAH (bila dibaca tiada sabdu) sepatutnya DULILLAH

2. HIR ROB (bila dibaca dengan sabdu) sepatutnya HI ROB

3. KIYYAU (bila dibaca dengan sabdu) sepatutnya KI YAU

4. KANNAK (bila dibaca dengan sabdu) sepatutnya KA NAK

5. KANNAS (bila dibaca dengan sabdu) sepatutnya KA NAS
SIROTHOLLAZI............. sehingga habis hendaklah dibaca tanpa henti.

AMIN — hendaklah mengaminkan Al-Fatihah dengan betul iaitu AA — dua harakat, MIN— 3 harakat, semoga Amin kita bersamaan dengan Amin malaikat.

Insya-Allah. semoga kita menjadi orang yang sentiasa membaiki bacaannya

Sunday 15 May 2011

Wasiat Rasulullah SAW berhubungan dengan jimak

WASIAT RASULULLAH S.A.W.

ADAB UZ-ZIFAF


Ahmad telah menceritakan :
Telah menceritakan kepada kami oleh Amru bin Hafsah dan Abu Naar dari Muhammad bin Al-Haitham dari Ishak bin Hanjih, dari Husaif dari Mujahid daripada Al-Khudri yang berkata : Rasulullah s.a.w. telah berwasiat kepada Saidina Ali bin Abi Talib r.a di mana baginda telah bersabda :

1. Wahai Ali, bila pengantin perempuan masuk ke dalam rumahmu, maka (suruh ia) tanggalkan kasutnya ketika ia duduk dan (suruh ia) membasuh kedua-dua kakinya. Maka sesungguhnya apabila kamu berbuat demikian Allah mengeluarkan tujuh puluh ( 70 ) jenis kefaqiran dari rumah kamu, dan Allah s.w.t. menurunkan tujuh puluh ( 70 ) rahmat yang sentiasa menaungi di atas kepala pengantin sehingga sentiasa keberkatan itu meratai setiap penjuru rumahmu dan pengantin itu sejahtera dari penyakit gila, sawan (gila babi) dan sopak selama mana ia berada di dalam rumah tersebut. Laranglah pengantin itu daripada memakan dan meminum empat ( 4 ) jenis makanan ini pada minggu pertama perkahwinan iaitu :

1. Susu 2. Cuka 3. Coriander (Ketumbar) 4. Apple Masam

Saidina Ali r.a bertanya :
Wahai Rasulullah, mengapakah empat jenis makanan ini di larang..?

Baginda menjawab :
Kerana rahim perempuan itu kering dan sejuk, dengan sebab dari empat perkara (makanan) ini untuk menghalang dari dapat anak. Sesungguhnya tikar di penjuru rumah adalah lebih baik daripada perempuan yang tidak dapat anak.

Saidina Ali r.a bertanya :
Wahai rasulullah, mengapakah cuka itu di larang..? (semasa haid dan semasa minggu pertama perkahwinan).

Baginda menjawab :
Apabila ia minum cuka semasa haid, sesungguhnya haidnya itu tidak akan bersih selama-lamanya secara sempurna.

Mengenai Coriander (ketumbar) ia mengganggu haid di dalam perutnya dan menyukarkan kepadanya kelahiran.

Tentang Apple masam, ia memotong haid sebelum masanya maka menjadikan haid itu berlalu begitu saja dengan sebabnya.

2. Wahai Ali..! janganlah engkau berjimak dengan isterimu pada awal (hari pertama) bulan, pada pertengahannya (sehari) dan pada akhir (dua hari) di hujung bulan. Maka sesungguhnya penyakit gila, gila babi dan sopak mudah mengenainya dan anaknya.

3. Wahai Ali..! janganlah berjimak dengan isterimu selepas zuhor, sesungguhnya jika Allah s.w.t. mengurniakan kepada kamu berdua anak kerana jimak pada waktu itu, maka ia akan bermata juling dan syaitan sangat suka kepada manusia yang bermata juling.

4. Wahai Ali..! janganlah bercakap-cakap semasa jimak, sesungguhnya jika Allah s.w.t. mengurniakan kepada kamu berdua anak dengan jimak yang demikian, maka anak itu tidak selamat daripada bisu.

5. Wahai Ali..! janganlah lihat kepada faraj perempuanmu dan jagalah pandanganmu sewaktu berjimak, (jika tidak) sesungguhnya mewarisi buta  iaitu anak.

6. Wahai Ali..! janganlah berjimak dengan perempuanmu dengan syahwat terhadap perempuan lain, maka sesungguhnya yang demikian itu jika Allah s.w.t. mengurniakan kepadamu berdua anak, anak itu akan menjadi pondan yang bersifat benci dan hina.

7. Wahai Ali..! jika kamu berjunub di tempat tidur, janganlah membaca Al-Quran, maka sesungguhnya aku bimbang akan turun kepada kamu berdua api (bala) dari langit yang membakar kamu berdua.

8. Wahai Ali..! janganlah berjimak dengan isterimu kecuali ada padamu satu tuala dan pada isterimu satu tuala.

9. Wahai Ali..! janganlah kamu berdua menyapu dengan menggunakan satu tuala, nanti akan jatuh syahwat keatas syahwat (salah seorang akan kuat syahwatnya daripada yang lagi satu), maka sesungguhnya yang demikian itu akan mengakibatkan permusuhan kemudian membawa kamu berdua kepada berpecah dan talak.

10. Wahai Ali..! janganlah kamu berjimak dengan isterimu secara berdiri, maka sesungguhnya yang demikian itu daripada perbuatan kaldai, jika Allah s.w.t. mengurniakan kepada kamu berdua anak, maka anak itu sentiasa kencing di tempat tidur seperti kaldai yang suka kencing di merata-rata tempat.

11. Wahai Ali..! janganlah berjimak dengan isterimu pada malam Aidil Fitri (Raya Puasa), maka sesungguhnya jika Allah s.w.t. mengurniakan kepada kamu berdua anak anak itu seorang yang cacat dan tidak mendapat anak baginya kecuali sudah tua.

12. Wahai Ali..! janganlah kamu berjimak dengan isterimu pada malam Aidil Adha, maka sesungguhnya jika kamu berdua berjimak pada malam tersebut, apabila Allah s.w.t. mengurniakan kepada kamu berdua anak aku bimbang ia akan menjadi seorang yang berjari enam atau empat.

13. Wahai Ali..! janganlah kamu berjimak dengan isterimu di bawah cahaya matahari (secara langsung  direct) dan terkena warna (cahayanya), kecuali kamu mengenakan tutupan (bumbung), jika tidak maka sesungguhnya kalau Allah mengurniakan kepada kamu berdua anak, nanti anak itu akan menjadi seorang sentiasa hidup dalam meminta-minta dan faqir sehingga mati.

14. Wahai Ali..! janganlah kamu berjimak dengan isterimu di bawah pohon kayu yang berbuah, maka sesungguhnya jika Allah s.w.t. mengurniakan kamu berdua anak, nanti anak itu akan menjadi seorang tukang gojo, tukang sebat atau seorang ketua yang bengis,

15. Wahai Ali..! janganlah kamu berjimak dengan isterimu sewaktu antara azan dan iqomah, jika berjimak pada waktu demikian, sesungguhnya jika Allah mengurniakan anak pada kamu berdua, nanti ia menjadi seorang yang menumpahkan darah.

16. Wahai Ali..! janganlah kamu berjimak dengan isterimu semasa ia hamil kecuali kamu berdua berwudhu, jika tidak maka sesungguhnya jika Allah s.w.t. mengurniakan kamu berdua anak, nanti ia akan menjadi seorang yang buta hati dan bakhil tangan.

17. Wahai Ali..! janganlah kamu berjimak dengan isterimu pada pertengahan (Nisfu) Syaban, maka sesungguhnya yang demikian itu jika Allah s.w.t. mengurniakan kamu berdua anak,nanti anak itu akan mempunyai tanda yang jelek pada muka dan rambutnya.

18. Wahai Ali..! janganlah kamu berjimak dengan isterimu pada akhir bulan (yakni tinggal dua hari) maka sesungguhnya yang demikian itu jika Allah s.w.t. mengurniakan kepada kamu berdua anak nanti anak tersebut menjadi seorang yang sentiasa perlu meminta-minta.

19. Wahai Ali..! janganlah kamu berjimak dengan isterimu dengan syahwat terhadap saudara perempuannya (ipar kamu) kerana yang demikian itu sesungguhnya kalau Allah s.w.t. mengurniakan kepada kamu berdua anak, nanti anak itu akan menjadi penolong dan pembantu kepada orang yang zalim dan pada tangannya membuat kebinasaan kepada manusia.

20. Wahai Ali..! janganlah kamu berjimak dengan isterimu di atas loteng maka sesungguhnya yang demikian itu jika Allah s.w.t. mengurniakan anak kepada kamu berdua nanti anak itu menjadi seorang munafiq, pelampau yang melewati batas.

21. Wahai Ali..! janganlah kamu berjimak dengan isterimu pada malam kamu hendak keluar musafir kerana yang demikian itu sesungguhnya kalau Allah s.w.t. mengurniakan kepada kamu berdua anak, ia akan membelanjakan harta kepada yang tidak Haq, dan Rasulullah s.a.w. membaca ayat Al-Quran : Innal Mubazziriina kaanu  ikhwan Nas  Syayathin.

22. Wahai Ali..! janganlah kamu berjimak dengan isterimu bila kamu keluar bermusafir dalam tempoh tiga hari tiga malam, maka yang demikian itu sesungguhnya bila Allah s.w.t. mengurniakan kepada kamu berdua anak, nanti ia menjadi seorang pembantu kepada setiap orang yang zalim.

23. Wahai Ali..! janganlah kamu berjimak dengan isterimu pada awal malam, maka sesungguhnya jika dikurniakan anak kepada kamu berdua, ia menjadi seorang tukang sihir, sunglap, dan menghendaki dunia daripada akhirat.


ANJURAN BERJIMAk

24. Wahai Ali..! jika kamu berjimak dengan isterimu bacalah : Allahumma Jannibnis Syaitan Wajanibis Syaitan Mimma Rozaktani. Maka yang demikian itu kalau Allah s.w.t. mengurniakan kepada kamu anak, tidak dimudaratkan oleh syaitan terhadapnya selama-lamanya.�

25. Wahai Ali..! hendaklah kamu berjimak dengan isterimu pada malam Isnin maka sesungguhnya jika Allah s.w.t. mengurniakan kepada kamu berdua anak, ia akan menjadi seorang yang berpegang teguh kepada kitab Allah (Al-Quran) dan redha terhadap segala pemberian Allah s.w.t. (baik dan buruk Qada dan Qadar Allah).

26. Wahai Ali..! jika kamu berjimak dengan isterimu pada malam Selasa, Allah s.w.t. akan memberi kepada kamu berdua anak yang mendapat nikmat Mati Syahid sesudah syahadah : Anla ilahaillallah wa anna Muhammada ar-Rasulullah dan Allah s.w.t. tidak azabkannya (turun bala kepadanya) bersama-sama orang musyrikin, mulutnya berbau harum yang akan melembutkan hati orang, bersih lidahnya daripada mengumpat, berdusta dan mengadu-domba.

27. Wahai Ali..! jika kamu berjimak dengan isterimu malam Khamis, maka Allah s.w.t. akan mengurniakan kepada kamu berdua anak yang bijaksana, atau seorang yang alim,di kalangan orang-orang yang alim.

28. Wahai Ali..! jika kamu berjimak dengan isterimu sewaktu matahari di tengah langit, Allah s.w.t. mengurniakan kepada kamu berdua seorang anak yang tidak di hampiri syaitan sehingga ia beruban (tua) dan menjadi seorang yang faqih serta Allah s.w.t. rezekikan kepadanya keselamatan agama dan dunia.

29. Wahai Ali..! jika kamu berjimak dengan isterimu pada malam Jumaat dan nanti anak kamu berdua adalah seorang pemidato yang berwibawa dan petah.

30. Wahai Ali..! jika kamu berjimak dengan isterimu pada hari Jumaat, selepas Asar, Allah s.w.t. akan kurniakan seorang anak yang terkenal, masyhor dan alim.

31. Wahai Ali..! jika kamu berjima dengan isterimu pada malam Jumaat selepas Isyak yang akhir, maka sesungguhnya di harapkan anakmu nanti menjadi seorang yang abdal (terkemuka),

WAHAI ALI PELIHARALAH WASIATKU INI SEBAGAIMANA AKU TELAH MEMELIHARANYA DARI JIBRIL A.S.
(1*) Al-Ikhtisyaah, ms 132-135, As-Saduq, Al-Faqih ms 456, Al- Ilal ms 174.

Wednesday 11 May 2011

Sifat fizikal Rasulullah s.a.w. sebagai Insan Teragung


Nabi Muhammad s.a.w. meskipun sama kejadiannya dengan manusia lain di muka bumi ini, namun bentuk lahiriah dan rohaniahnya tidak sama. Baginda mempunyai keistimewaan yang sama sekali tidak terdapat pada manusia-manusia biasa.

Sebagai manusia yang terbaik di muka bumi ini, Baginda dianugerahkan dengan keperibadian dan perwatakan yang istimewa kerana padanyalah terdapat contoh untuk diteladani.

Umum mengetahui keadaan yang zahir adalah gambaran yang terjelma dari unsur-unsur batin. Rupa paras seseorang boleh membantu menjelaskan keperibadian setiap individu. Ciri-ciri seperti bentuk badan, sifat fizikal dan rupa bentuk anggota adalah menggambarkan tentang akal dan akhlak seseorang. Begitulah dengan Nabi Muhammad s.a.w. yang mempunyai bentuk badan yang indah dan segak, namun tidak dapat digambarkan oleh mana-mana pelukis potret di dunia ini. Allah mengharamkan penggambaran potret Baginda oleh sesiapa saja. Sungguhpun begitu sifat-sifat kecantikan baginda masih boleh diillusikan melalui pertuturan dan riwayat para sahabat dan tabi'in.

Begitu indahnya sifat fizikal Baginda, sehinggakan seorang ulama Yahudi yang pada pertama kalinya bersua muka dengan Baginda lantas melafazkan keIslaman dan mengaku akan kebenaran apa yang disampaikan oleh Baginda. Ulama Yahudi berkenaan terpukau dengan raut paras dan akhlak baginda yang sudah tentunya milik seorang Rasul Agung di muka bumi ini.

Para sahabat yang sentiasa bersamanya sentiasa meneliti bentuk tubuh tokoh kesayangannya secara terperinci. Di antara kata-kata appresiasi mereka yang pernah melihat baginda s.a.w. :

Aku belum pernah melihat lelaki yang sekacak Rasulullah. Aku melihat cahaya memancar dari lidahnya.

Seandainya kamu melihat Rasulullah, kamu akan merasa seolah-olah sedang melihat matahari terbit.

Aku pernah melihat Rasulullah s.a.w. di bawah sinaran bulan. Aku bandingkan wajahnya dengan bulan, akhirnya aku sedari bahawa Rasulullah s.a.w. jauh lebih cantik daripada sinaran bulan.

Rasulullah s.a.w. seumpama matahari yang bersinar. Aku belum pernah melihat lelaki setampan Rasulullah s.a.w.

Apabila Rasulullah s.a.w. berasa gembira, wajahnya bercahaya seperti bulan purnama dan dari situ kami mengetahui yang baginda sedang gembira.

Kali pertama memandangnya, sudah tentu kamu akan terpesona

Wajahnya tidak bulat tetapi lebih cenderung kepada bulat

Wajahnya seperti bulan purnama

Dahi Baginda luas, raut kening tebal, terpisah di tengahnya. Urat darah kelihatan di antara dua kening dan nampak semakin jelas semasa marah.

Mata Baginda hitam dengan bulu mata yang panjang

Garis-garis merah di bahagian putih mata, luas kelopaknya, kebiruan asli di bahagian sudut.

Hidungnya agak mancung, bercahaya penuh misteri, kelihatan luas sekali pertama kali melihatnya.

Mulut baginda sederhana luas dan cantik

Giginya kecil dan bercahaya, indah tersusun, renggang di bahagian depan.

Apabila berkata-kata cahaya kelihatan memancar dari giginya

Janggutnya penuh dan tebal menawan

Lehernya kecil dan panjang, terbentuk dengan cantik seperti arca. Warna lehernya putih seperti perak sangat indah.

Kepalanya besar tapi terlalu elok bentuknya

Rambutnya sedikit ikal

Rambutnya tebal kadang-kadang menyentuh pangkal telinga dan kadang-kadang mencecah bahu tapi disisir rapi

Rambutnya terbelah di tengah

Di tubuhnya tidak banyak rambut kecuali satu garisan rambut menganjur dari dada ke pusat

Dadanya bidang dan selaras dengan perut. Luas bidang antara kedua bahunya lebih daripada biasa

Seimbang antara kedua bahunya

Pergelangan tangannya lebar, lebar tapak tangannya , jarinya juga besar dan tersusun dengan cantik

Aku tidak pernah menyentuh sebarang sutera yang tipis mahupun tebal yang lebih lembut daripada tapak tangan Rasulullah s.a.w.

Perut betisnya tidak lembut tetapi cantik. kakinya berisi, di tapak kakinya terlalu licin sehingga tidak melekat air. Terlalu sedikit daging di bahagian tumit kakinya.

Warna kulitnya tidak putih seperti kapur atau coklat tapi campuran antara coklat dan putih. Warna putihnya lebih banyak.

Warna kulit Baginda putih kemerah-merahan

Warna kulitnya putih tapi sehat

Kulitnya putih lagi bercahaya

Binaan badannya sempurna, tulang-temulangnya besar dan kukuh

Badannya tidak gemuk

Badannya tidak tinggi dan tidak pula rendah, kecil tapi berukuran sederhana lagi kacak

Perutnya tidak buncit

Badannya cenderung kepada tinggi. Semasa berada di kalangan orang ramai, baginda kelihatan lebih tinggi daripada mereka

Sekalipun baginda miskin dan lapar tapi tubuhnya lebih gagah dan sihat daripada orang yang cukup makan.Aku tidak pernah melihat seorang lelaki yang lebih gagah dan berani daripada Rasulullah s.a.w.

Begitu hebat personaliti dan ketokohan Baginda s.a.w., makhluk terpuji dan teragung di muka bumi. Kesimpulannya Nabi Muhammad s.a.w. adalah manusia agung yang ideal dan sebaik-baik contoh sepanjang zaman.
 
Iktibar

Nabi Muhammad s.a.w. adalah manusia terbaik pilihan Allah.
Sifatnya yang terpuji merangkumi aspek fizikal dan rohani.
Atas sifatnya yang superior inilah baginda dilantik menjadi pemimpin seluruh manusia di dunia ini.
Baginda adalah manusia mithali yang serba lengkap dan serba kamil dan layaklah baginda tidak disentuh sebarang dosa lagi bersifat dengan maksum. Kepimpinan Baginda sepatutnya menjadi contoh teladan kepada semua manusia di muka bumi ini. Barangsiapa mentaati Allah tanpa mengakui kerasulan Nabi s.a.w., nescaya Allah tidak menerima keimanannya.